lightning-solid
Berita :
Terengganu Negeri Pertama di Pantai Timur Miliki Pusat Derma Darah Statik
Terengganu Negeri Pertama di Pantai Timur Miliki Pusat Derma Darah Statik
Ahmad Zaeem Zainudin
1 hari yang lepas
17

KUALA TERENGGANU, 16 Disember - Terengganu pada hari ini melakar sejarah tersendiri apabila menjadi negeri ketiga di Malaysia dan pertama di Pantai Timur yang memiliki Pusat Derma Darah Statik.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato' Dr. Kasemani Embong berkata, pembukaan pusat tersebut merupakan inisiatif erat antara Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), St. John Ambulans Malaysia serta KTCC Mall Kuala Terengganu.

IMG_20251216_170450.jpg 3.05 MB
"Sebelum ini kita melihat pusat derma darah statik luar daripada Terengganu seperti di Lembah Klang ataupun di Johor Bahru. Kebanyakannya berada di pusat beli-belah. 

"Jadi samalah juga di negeri Terengganu, kita ambil pendekatan kita membuat kerjasama dengan KTCC Mall dan juga dengan St John untuk membangunkan, membuka satu pusat derma darah statik untuk negeri Terengganu.

"Sebenarnya idea ini telah pun dilontarkan oleh pasukan daripada unit tranfusi darah dari HSNZ apabila berbincang dengan saya, saya merasakan kita mesti mulakan. 

"Dan alhamdulillah hari ini kita dapat merealisasikan pusat darah statik ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Perasmian Pusat Derma Darah Statik bertempat di Aras 1, KTCC Mall, sebentar tadi.

IMG20251216122825.jpg 3.41 MB
Menurutnya lagi, penubuhan fasiliti derma darah bersifat statik ini juga bertujuan bagi memudahkan orang ramai untuk menderma darah tanpa perlu ke hospital.

"Apabila kita membuka ruang di sini, ia akan memudahkan orang awam untuk datang ke KTCC dan di sini juga terdapat ruang parkir yang lebih banyak dan dari segi keselesaan.

"Kita sebenarnya jemput bukan saja (orang yang ingin menderma darah) di Kuala Terengganu bahkan mereka-mereka dari seluruh negeri Terengganu dan juga kepada mereka yang di luar daripada negeri Terengganu, mereka boleh datang," tambahnya.

Dr. Kasemani turut memaklumkan, negeri Terengganu memerlukan sekitar 60 hingga 70 beg darah sehari bagi menampung keperluan rawatan pesakit, justeru kewujudan pusat berkenaan dijangka dapat membantu menstabilkan bekalan darah.

IMG20251216125057.jpg 5.2 MB
Beliau juga memaklumkan bahawa pusat tersebut mula beroperasi sejak 1 Disember lalu dan menerima sambutan menggalakkan dengan purata tidak kurang 20 penderma sehari.

"Pada awalnya saya tidak menjangkakan kita boleh capai 30 hingga 40 pek darah sehari, namun setakat ini sambutannya amat baik. Kita yakin jumlah ini akan meningkat selepas diuar-uarkan secara lebih meluas," ungkapnya.

Jelasnya, kumpulan darah O kekal sebagai yang paling diperlukan kerana sering digunakan dalam situasi kecemasan di hospital.

Pusat Derma Darah Statik KTCC Mall yang terletak di Aras 1, Lot 1-21 dijadualkan untuk  beroperasi setiap hari dari jam 11 pagi hingga 8 malam, dengan pendaftaran terakhir pada jam 8 malam.

Dalam pada itu, mengulas persiapan menghadapi musim banjir, beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dengan pasukan perubatan dan kesihatan telah ditetapkan di semua daerah.

"Dari segi persiapan banjir, kita memang telah bersedia lebih awal. Semua pasukan telah disusun dan berada dalam tahap kesiapsiagaan yang baik," katanya.


Artikel Berkaitan