KUALA NERUS, 4 April - Kerajaan Terengganu sedang meneliti secara substantif keperluan pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi penjawat awam negeri sebagai langkah proaktif mendepani impak krisis tenaga ekoran konflik geopolitik di Asia Barat.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini inisiatif tersebut masih di peringkat penilaian dan sebarang keputusan rasmi berhubung pelaksanaannya belum dimuktamadkan di peringkat pentadbiran.
"Perkara ini masih belum dibawa ke peringkat mesyuarat dan kita sedang menilai lagi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026, di sini, hari ini.
Menurutnya, wacana pemikiran mengenai keperluan kaedah BDR ini mengambil kira perbezaan demografi dan logistik antara negeri agar keputusannya kelak praktikal tanpa menjejaskan integriti dan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
"Kita masih lagi menilai mana-mana yang ada keperluan sebab suasana di Lembah Klang tidak sama dengan di Terengganu.
"Di Lembah Klang, kebanyakan masa dihabiskan di atas jalan raya, dan ini memberi kesan kepada penggunaan bahan api yang agak kritikal kelak," jelasnya.
Tambah beliau, walaupun tahap kesesakan trafik tidak begitu meruncing di Terengganu, kerajaan negeri tidak mengambil ringan dan akan terus membuat pemerhatian yang komprehensif.
Sementara itu, mengulas mengenai mesyuarat khas bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, Ahmad Samsuri memaklumkan perbincangan itu memfokuskan kepada penyelarasan langkah strategik bagi mendepani tekanan ekonomi kesan daripada arus globalisasi yang kian mencabar.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri mempunyai kerangka perancangan tersendiri bagi meredakan bebanan kewangan rakyat, yang turut menjadi langkah simbolik sokongan terhadap usaha mitigasi di peringkat Persekutuan.
Sehubungan itu, beliau menaruh harapan agar jalinan sinergi secara kolektif tidak kira sektor kerajaan mahupun swasta dipertingkatkan bagi memastikan daya tahan ekonomi negara tidak mudah terhakis oleh faktor luaran.
"Kita akan menggembleng kerjasama semua pihak bagi menangani cabaran ini agar tekanan ekonomi dapat diminimumkan, sekali gus memelihara kesejahteraan dan memacu semula kegemilangan hidup rakyat," ujarnya.