• 28 Okt 2020 | 11 Rabiul Awal 1442

Terengganu Optimis Capai 4.5 Juta Pelancong Hingga Akhir Tahun 2020

MARANG, 11 Julai - Sektor pelancongan di Terengganu dijangkakan menerima 4.5 juta pelancong berbanding sasaran terdahulu sebanyak 5.4 juta sehingga Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan,  Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, ia bagi baki enam bulan terakhir tahun ini selepas sektor pelancongan dibuka semula, selaras pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Kita sebenarnya letak sasaran 5.4 juta tapi oleh kerana berlakunya kes Covid-19, kita ubah kepada 3.8 juta tetapi oleh kerana kehadiran yang ramai ini kita jangka 4.5 juta orang pelancong akan masuk ke Terengganu.

"Kita tiada angka tepat lagi untuk jumlah pelancong ketika ini cuma semua tempat pelancongan disini boleh dikatakan penuh dengan anggaran 80 hingga 90 peratus pelancong yang datang ke Terengganu terutama pada waktu puncak.

"Pada hari biasa pun sudah melebihi 50 hingga 60 peratus, maksudnya hari biasa pun mereka mencuri masa, sebab terlalu ramai orang waktu cuti ataupun hujung minggu," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media sempena perlepasan Program Maghi Candat Sotong Terengganu 2020 di jeti Marang, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ariffin turut menjelaskan tentang isu kesesakan pelancong di Pulau Perhentian dan tindakan yang perlu diambil oleh pihaknya bagi menangani masalah ini.

"Tiga minggu yang lalu kita telah melancarkan buku Prosedur Operasi Standard (SOP) khas yang dibuat oleh Jabatan Pelancongan
dan diedarkan ke setiap pemain yang terlibat di pulau-pulau dan juga tempat lain untuk memastikan mereka menjaga SOP yang diarahkan.

"Cuma apabila berlaku kesesakan, pihak penguasa pejabat daerah dan juga majlis-majlis daerah dan pihak yang berkenaan diarahkan supaya melihat serta menyemak kembali SOP dan mewajibkan mereka mengikutinya.

"Kerana sekiranya berlaku atau timbul satu sahaja kes, ia akan mendatangkan kesan yang sangat negatif kepada pelancongan negeri,"ujar beliau.