Berita :
Terengganu Patenkan Tarian Ulek Mayang, Rodat Demi Pelihara Keaslian Warisan
Terengganu Patenkan Tarian Ulek Mayang, Rodat Demi Pelihara Keaslian Warisan
Ahmad Zaeem Zainudin
2 jam yang lepas
77

KUALA TERENGGANU, 7 Jun - Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) kini dalam usaha serius untuk mempatenkan seni warisan ikonik, tarian Ulek Mayang dan Rodat. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, langkah itu diambil bagi memastikan khazanah budaya tersebut terus terpelihara.

"Dan inilah sebenarnya yang saya dan juga Kerajaan Negeri nak usahakan, supaya memperbanyakkan banyak lagi budaya-budaya kita ini. 

"Kalau kita tengok wakil-wakil daripada daerah tadi daerah Dungun ada Tarian Sabak, ada Tarian Piring.

"Dan kita nak angkat tarian ini. Tapi ia akan mengambil masa, bukan mudah untuk kita nak selamatkan tarian lama ini.

"Sekarang kita dah cuba sebaik mungkin untuk mempatenkan tarian ulek mayang Dan juga rodat," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Temasya Budaya Terengganu (TBT) 2026, semalam.

Ulasnya lagi, proses konservasi tarian tradisional tersebut memerlukan komitmen tinggi kerana ia melibatkan penceritaan semula yang mendalam.

"Tarian Ulek Mayang ini bukan lima minit, tarian Ulek Mayang ini lebih kurang 15 minit, dicampur dengan penceritaan dia sama juga dengan dengan rodat.

"Rodat ini sebenarnya pada asalnya daripada 9.00 sampai 12.00 malam. Tapi kita buat secara beginilah (dalam majlis rasmi), secara tertib," jelasnya.

Beliau menambah bahawa kerjasama dengan JKKN akan diperkukuh bagi memastikan persembahan warisan itu sebagai persediaan untuk mengangkat martabatnya ke peringkat antarabangsa. 

"Insya-Allah saya akan bincang elok-elok dengan JKKN supaya tarian tersebut akan diangkat untuk peringkat antarabangsa," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha MOTAC, Dato' Shaharuddin Abu Sohot menyatakan bahawa usaha memelihara aset penting seperti gamelan, lagu rakyat, dan Ulek Mayang mampu menawarkan pengalaman pelancongan yang unik kepada pelancong.

"Usaha memelihara aset penting negeri seperti gamelan, lagu rakyat, dan tarian Ulek Mayang bukan sahaja berfungsi mengekalkan jati diri bangsa.

"Malah menawarkan pengalaman pelancongan yang unik, magis, dan autentik kepada para pelancong domestik mahupun antarabangsa," katanya.

Menurutnya, MOTAC amat menghargai keterbukaan dan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kelangsungan warisan seni ini dilaksanakan melalui pendekatan apresiasi yang harmoni, khususnya pendekatan patuh syariah.

"Usaha ini dilaksanakan selaras dengan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu yang patuh syariah. 

"Kerjasama yang berteraskan nilai hormat terhadap acuan tempatan ini memberikan mesej yang jelas bahawa industri seni dan budaya mampu berkembang megah dalam kerangka nilai yang murni dan beretika," ujarnya.


Ketupat

Artikel Berkaitan