KUALA TERENGGANU, 16 Oktober – Platform pembayaran digital Terengganu Pay merekodkan kutipan keseluruhan sebanyak RM5.65 juta menerusi 56,247 transaksi melibatkan lapan agensi kerajaan negeri, berdasarkan laporan ringkasan status pelaksanaan bertarikh dari 1 Januari 2020 sehingga 5 Oktober 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, laporan itu turut menunjukkan seramai 33,037 pengguna berdaftar menggunakan platform berkenaan, yang menyediakan 12 perkhidmatan pembayaran merentasi lapan agensi.
"Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mencatatkan kutipan tertinggi sebanyak RM2.78 juta menerusi 17,429 transaksi bagi bayaran fidyah.
"Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Terengganu pula merekodkan kutipan RM1.92 juta melalui 35,196 transaksi bayaran cukai tanah, manakala Yayasan Terengganu mengumpulkan RM898,823.40 menerusi 3,311 transaksi pinjaman pendidikan," jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu mencatatkan kutipan RM14,409 melalui 251 transaksi, merangkumi bayaran perkhidmatan perkahwinan Islam dan dana masjid.
"Bagi pihak berkuasa tempatan, Majlis Daerah Hulu Terengganu merekodkan RM22,178.14, Majlis Perbandaran Dungun sebanyak RM4,506 dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu sebanyak RM3,603," ujar beliau.
Sementara itu, Sekretariat Tabung Darul Iman mengumpulkan RM6,812 melalui 33 transaksi sumbangan kepada tabung berkenaan.
Laporan sama turut merekodkan penggunaan lapan kiosk layan diri yang ditempatkan di beberapa premis kerajaan dengan kutipan RM31,904.60 menerusi 844 transaksi menggunakan kad debit dan kredit.
"Sebanyak 339 transaksi menggunakan kad debit atau kredit direkodkan melalui Bank Muamalat Malaysia Berhad dengan kutipan RM14,266, manakala 505 transaksi melalui Affin Bank mencatatkan RM17,638.60," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa perkhidmatan masih dalam proses pelaksanaan, termasuk bayaran program peningkatan kemahiran, yuran caj keahlian, bayaran pembungkusan, brosur dan fakta nutrisi, bayaran e-tempahan serta bayaran pengurusan operasi sumber hutan.
Perkembangan itu menunjukkan Terengganu Pay menyediakan saluran pembayaran bagi pelbagai urusan kerajaan negeri, termasuk cukai tanah, fidyah dan pinjaman pendidikan.