• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Perhalusi Strategi Atasi Kegagalan Hadir Vaksinasi

KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Kerajaan negeri sedang giat merangka strategi bagi mengatasi masalah ketidakhadiran penerima vaksin bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan April lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, langkah tersebut diambil setelah melihat lebih 10,000 individu dalam negeri gagal menghadiri sesi temu janji vaksinasi.

“Jumlah ini melibatkan warga emas dan golongan ‘co-morbid’ yang rata-rata memberi alasan seperti tidak ingat tarikh temu janji dan tiada kenderaan untuk pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berdekatan.

“Menjangka akan berlakunya perkara ini, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah bersiap sedia dengan senarai pengganti lain, hasilnya tidak berlaku pembaziran dos vaksin setakat ini,” katanya dalam satu sidang media, kelmarin.

Mengulas lanjut berkenaan jalan penyelesaian itu, Dr Alias memaklumkan, Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Terengganu (JKKNT) mencadangkan kaunter pemberian vaksin di masjid-masjid di semua daerah.

“Perbincangan sedang diadakan bersama JKNT dalam mengatasi keperluan tenaga kerja dan jurusuntik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sekurang-kurangnya kita sasarkan satu masjid di satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Cadangan lain seperti daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk mewujudkan pusat suntikan bergerak juga disuarakan, namun kita perlu selesaikan masalah kakitangan dan pemantau selepas sudah disuntik, perkara sebegini perlu diambil kira terlebih dahulu.

“Bagi kawasan DUN dan Parlimen, pusat khidmat masyarakat masing-masing ada menyediakan perkhidmatan kenderaan percuma untuk hantar ke PPV, hanya perlu hubungi sahaja," katanya.

Menurut statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) sehingga 31 Mei, seramai 345,492 individu di negeri ini telah mendaftar sebagai penerima vaksin manakala daripada jumlah itu seramai 79,185 individu sudah disuntik.