• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Perintis Anjur `Moment Of Unity'

Ooi Yong Jing (tengah) menerima pingat Anugerah Khas daripada Mohd Iskandar pada Program Moment Of Unity yang berlangsung di Pulau Warisan, Kuala Terengganu. Foto Oleh: Tg Mohd Syamim Tg Ismail 

Terengganu muncul negeri pertama yang menganjurkan program Detik-Detik Perpaduan (Moment Of Unity) dalam usaha menyeru masyarakat menjadikan perpaduan sebagai budaya hidup tanpa mengira kaum.

Program yang dianjurkan oleh tiga badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu serta Persatuan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India negeri diadakan di Pulau Warisan kelmarin dengan dihadiri kira-kira 1,000 peserta.

Usaha itu selaras menyahut seruan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk menggalakkan interaksi pelbagai kaum di kalangan generasi muda dengan majlis pelancaran peringkat kebangsaan berlangsung di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur pada 21 Januari lalu. 




Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Mohd Iskandar Jaafar yang mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Dalam program tersebut, atlet renang negeri, Ooi Yong Jing, 12, turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas berikutan kejayaannya mengharumkan nama negeri apabila memperoleh dua pingat perak di kejohanan Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN), baru-baru ini.

Kejayaan murid Tahun Enam Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hwa Wei Sin itu mengukir sejarah buat Terengganu apabila kali pertama memperolehi pingat dalam tempoh 22 tahun. 

Tag: