lightning-solid
Berita :
Terengganu Perkasa Penghayatan Sirah, Pembinaan Akhlak
Terengganu Perkasa Penghayatan Sirah, Pembinaan Akhlak
Mastura Jamal Din
1 hari yang lepas
9

KUALA TERENGGANU, 25 Ogos – Kerajaan negeri akan terus memperkukuh program berteraskan ilmu, penghayatan sirah dan pembinaan akhlak bagi memastikan sambutan Maulidur Rasul tidak hanya tertumpu kepada acara tahunan.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha tersebut penting sebagai pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang lebih berilmu, berintegriti dan berakhlak mulia.

Menurut beliau, setiap pengisian yang dilaksanakan sempena sambutan itu diharap dapat meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap sirah dan sunnah Rasulullah SAW untuk dijadikan pedoman dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

“Kerajaan negeri akan terus memperkukuh pelbagai program berteraskan ilmu, penghayatan sirah serta pembinaan akhlak agar sambutan ini bukan sekadar menjadi acara tahunan, bahkan menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang lebih berilmu, berintegriti dan berakhlak mulia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman Tahun 1448 Hijrah bersamaan 2026 Masihi di Stadium Negeri, di sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan majlis sambutan berkenaan.
Pada majlis itu baginda turut berkenan menyampaikan hadiah kepada tiga penerima anugerah atas jasa bakti dan sumbangan kepada agama, bangsa serta masyarakat.

Anugerah Kepimpinan Komuniti dimenangi oleh pertubuhan komuniti Gong Tok Nasek Care yang membawa pulang hadiah sijil dan wang tunai berjumlah RM5,000, manakala Anugerah Sukarelawan Ummah dirangkul aktivis Misi Flotilla Kemanusiaan Antarabangsa Muhd Asmawi Mukhtar @ Awang yang menerima hadiah sijil dan wang tunai RM2,000.
Sementara itu Anugerah Pengkarya Islamik dimenangi oleh Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof. Dr. Engku Ahmad Zaki Engku Alwi.



Tag :

Artikel Berkaitan