• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Perkenal Produk Pelancongan Baharu Bulan Hadapan

MARANG, 3 Februari - Pelbagai produk pelancongan baharu akan diperkenalkan bulan hadapan bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke Terengganu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Sulaiman Sulong berkata, langkah tersebut secara tidak langsung membantu pemain industri pelancongan di negeri ini yang terjejas dalam tempoh penularan pandemik COVID-19.

"Pelancongan menjadi keutamaan untuk kita bina balik ekonomi selepas berdepan dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang agak panjang.

"Jika diizinkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk buka lebih luas lagi ruang pelancongan maka kerajaan negeri bersedia menyediakan pakej-pakej menarik sama ada di pulau atau di Marang ini sendiri," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan sumbangan telefon pintar kepada pelajar kurang berkemampuan di Perkarangan Pejabat Pendidikan Daerah Marang, semalam.

Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal Tun Abdul Razak.

Katanya, kerajaan negeri akan memperkenalkan beberapa tempat baru khususnya untuk pelancongan domestik termasuk di Marang dan sekiranya tiada sebarang halangan ia akan diumumkan bulan hadapan.

Menurut beliau lagi, biarpun banyak program pelancongan tahun lalu yang dirancang tersasar disebabkan pandemik COVID-19, pendekatan mengadakan program lain seperti perkampungan budaya sedikit sebanyak menambah kedatangan pelancong.

Tambahnya, diharapkan dengan adanya produk pelancongan baharu akan terus merancakkan sektor ekonomi di negeri ini sekali gus memberi pulangan kepada pemain industri pelancongan.