KUALA TERENGGANU, 23 Ogos – Kerajaan negeri terus memperkukuh pendekatan komunikasi yang telus, pantas dan berasaskan fakta menerusi pengenalan Budaya 3T iaitu Telus, Tangkas dan Terjamin sebagai kerangka amalan komunikasi kerajaan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan setiap maklumat yang disampaikan kepada rakyat tepat, jelas dan dapat dipertanggungjawabkan.
Beliau berkata, Budaya 3T mampu menjadi asas kepada pembentukan sistem komunikasi Kerajaan Negeri yang lebih tersusun, cekap serta diyakini rakyat, khususnya dalam berdepan perkembangan maklumat yang pantas pada era digital.
“Telus bermaksud kita menyampaikan perkara yang benar, jelas dan tidak mengelirukan. Jika ada masalah, kita jelaskan masalahnya dan jika ada kelemahan, kita akui ruang yang perlu diperbaiki.
“Tangkas pula bermaksud kita tidak boleh membiarkan ruang kosong dalam maklumat diisi spekulasi atau persepsi yang tidak tepat. Kerajaan perlu hadir dengan fakta yang benar pada masa maklumat itu diperlukan.
“Terjamin pula setiap fakta, angka dan kenyataan yang dikeluarkan mesti mempunyai asas kukuh, telah disemak dan boleh dipertanggungjawabkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan Kongres Komunikasi Strategik Negeri Terengganu bagi tahun 2026 di Hotel Permai, di sini hari ini.
Menurutnya, walaupun tiga prinsip itu dilihat mudah, pelaksanaannya secara konsisten mampu membentuk budaya komunikasi Kerajaan Negeri yang lebih kukuh dan dipercayai.
Dalam pada itu, Dr Muhammad Khalil berkata tugas komunikasi kerajaan bukan sekadar menghasilkan kenyataan media, mengurus media sosial atau menyusun program publisiti, sebaliknya berperanan menjadi penghubung antara kerajaan dengan rakyat.
Katanya, komunikasi berkesan bukan hanya memastikan kerajaan didengari, tetapi turut membolehkan kerajaan memahami suara dan keperluan rakyat.
“Kepercayaan yang utuh mesti dibina melalui konsistensi antara apa yang kita katakan, apa yang kita lakukan dan apa yang rakyat alami sendiri,” katanya.
Beliau turut menyeru semua jabatan, agensi dan anak syarikat Kerajaan Negeri supaya menjadikan hasil kongres sebagai asas kepada penambahbaikan sistem kerja serta budaya baharu dalam penyampaian maklumat.
Katanya, penyelarasan komunikasi perlu diperkukuh bagi memastikan semua entiti kerajaan bergerak dengan maklumat dan hala tuju yang selari.
“Kita perlu meninggalkan budaya ‘kamu dengan kerja kamu, saya dengan kerja saya’ dan membina budaya kerja berpasukan yang saling bergantung serta melengkapi.
“Apabila berlaku sesuatu isu, ia bukan semata-mata isu satu jabatan dan apabila ada kejayaan, ia juga bukan sekadar kejayaan satu agensi. Akhirnya, semua yang kita lakukan membawa nama yang sama, iaitu Negeri Terengganu,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan tersebut sekali gus dapat memperkukuh keupayaan Kerajaan Negeri dalam menyampaikan dasar, menjelaskan isu serta mengetengahkan pencapaian kerajaan kepada rakyat secara lebih berkesan.