HULU TERENGGANU, 15 Oktober – Terengganu perlu memperkukuh persediaan dari segi dasar, infrastruktur, perkhidmatan kesihatan dan jaringan sokongan sosial bagi menghadapi perubahan demografi apabila Malaysia dijangka menjadi negeri tua menjelang 2036.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md Noor berkata, isu warga emas tidak boleh lagi dilihat hanya dari sudut kebajikan asas, sebaliknya perlu diberikan perhatian bagi memastikan golongan itu dapat menjalani kehidupan secara berdikari, bermaruah dan bermakna.
Menurutnya, warga emas bukan sekadar golongan memerlukan bantuan, malah mempunyai pengalaman, ilmu dan nilai kehidupan yang boleh terus dimanfaatkan untuk membentuk masyarakat yang harmoni.
“Pendekatan ini mengubah pandangan masyarakat daripada melihat golongan warga emas sebagai individu pasif yang perlu dibantu semata-mata kepada golongan berdaya yang berhak menentukan corak kehidupan mereka sendiri,” jelasnya.

Zuraida menambah, kehidupan warga emas yang berkualiti bukan sahaja bergantung pada kemampuan fizikal, tetapi turut merangkumi kesejahteraan emosi, rohani dan sosial supaya mereka sentiasa berasa dihargai serta mempunyai tujuan dalam kehidupan.
Dalam pada itu, jurang emosi antara warga emas dengan generasi muda perlu dirapatkan melalui komunikasi berkesan, sikap saling memahami dan penghormatan terhadap perbezaan pengalaman hidup bagi mengelakkan salah faham dalam institusi kekeluargaan.
Katanya, cara berfikir dan latar belakang antara generasi sering menjadi punca berlakunya jurang emosi yang boleh menjejaskan hubungan kekeluargaan.
Menurutnya lagi, warga emas perlu bersikap lebih terbuka dalam memahami perubahan kehidupan generasi muda, termasuk perkembangan dunia digital, manakala golongan muda pula perlu menghormati pengalaman dan menghargai nilai yang diwariskan oleh golongan lebih berusia.
Zuraida menambah, generasi muda juga perlu memahami bahawa teguran atau nasihat warga emas lazimnya berlandaskan pengalaman hidup serta kasih sayang terhadap keluarga.
“Dalam memahami emosi seseorang, kita perlu menyelami dunia tempat mereka dibentuk demi merungkai jurang emosi yang sering menjadi punca salah komunikasi dalam keluarga,” tambahnya.
Tegasnya lagi, usaha membina hubungan yang harmoni antara generasi memerlukan kesediaan kedua-dua pihak untuk mendengar, menghormati pandangan dan memahami perubahan zaman tanpa mengetepikan nilai kekeluargaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, aktiviti intergenerasi seperti mencanting batik yang diketengahkan menerusi program berkenaan dapat menjadi medium untuk menggalakkan komunikasi dua hala dan mengeratkan hubungan antara warga emas dengan golongan muda.
Katanya, interaksi sedemikian bukan sahaja membuka ruang perkongsian pengalaman dan ilmu, malah membantu memupuk empati serta rasa hormat antara generasi.
Justeru itu, beliau berharap pendekatan yang menggalakkan persefahaman antara generasi dapat menyumbang kepada pembentukan masyarakat Terengganu lebih inklusif, penyayang dan sejahtera.
Sambutan itu turut menyaksikan penyampaian empat kategori anugerah, iaitu Anugerah Warga Emas Aktif Lelaki, Anugerah Warga Emas Aktif Perempuan, Anugerah Sukarelawan Warga Emas dan Anugerah PAWE Cemerlang.