• 09 Dis 2021 | 4 Jamadil Awal 1443

Terengganu Perluas Dakwah Banteras Kesalahan Zina

MARANG, 25 November - Golongan yang mempunyai niat untuk melakukan maksiat Zina di Terengganu khususnya sekitar daerah ini perlu membatalkan hasrat mereka kerana aktiviti membanteras kesalahan syariah itu kini sedang giat dijalankan.

Satu program memasang bunting kempen 'Jauhi Maksiat Zina' telah diadakan di beberapa premis seperti chalet, hotel, dan resort bagi memberi kesedaran kepada masyarakat akan kesalahan zina yang membawa kepada dosa besar dalam agama islam.

Ketua Pertubuhan Amal Maaruf Nahi Mungkar Marang (SKUAD AMAR), Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya telah mengeluarkan satu bunting untuk dipasang di hadapan kaunter setiap premis sebagai isyarat bahawa mereka telah diberi amaran berkaitan kesalahan tersebut.

"Kami telah memberikan kesedaran melalui penerangan dan amaran, malah operasi ke premis-premis juga sering dibuat dan diadakan bagi membanteras perkara yang merosakkan masyarakat khususnya golongan muda ini.

"Menurut statistik tangkapan di daerah ini, sebenarnya kebanyakannya mereka yang ditangkap bukan berasal daripada Terengganu dan merupakan pelancong luar yang datang menginap di sini,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika Program Serahan Roll Up Bunting Jenayah Syariah Kesalahan Maksiat di Pejabat Agama Daerah Marang yang dirasmikan oleh Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman.

Menurutnya lagi, program seperti itu juga akan diteruskan ke peringkat belia atau pelajar sekolah pada masa akan datang bagi memberikan kesedaran kepada anak muda akan bahaya dan dosa zina.

"Kita mendapat kerjasama yang baik daripada DUAT, Pejabat Agama Daerah Marang, Majlis Daerah Marang dan Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang di atas cadangan yang akan dibawa kepada pihak sekolah serta pihak bertanggungjawab.

"Hal ini perlu diberikan keutamaan kerana masalah yang berlaku dikalangan anak muda dan pelajar tidak boleh dipandang ringan kerana mereka adalah penyambung generasi kita pada masa akan datang," katanya lagi.

Tambah beliau, Skuad AMAR berperanan besar dalam memberikan sumbangan tenaga sukarelawan, disamping orang-orang luar serta masyarakat yang turut membantu pihak penguatkuasa.

"Sebelum ini, NGO dakwah ini telah mengadakan kempen pencegahan berkaitan kesalahan syariah seperti tidak berpuasa, tidak menunaikan solat jumaat, dan perbuatan tidak sopan ditempat awam," katanya.