• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Terengganu Peruntuk RM45 Juta Baiki Jalan Rosak


Ahmad Razif mengikuti demontrasi menampal jalan  rosak pada Program Pelaksaan Kerja-kerja Penampalan Pothole Jalan Minor di Dataran Permata, Seberang Takir, Kuala Nerus. Foto Harish Fadzillah Kassim

Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM45 juta dalam tempoh lima tahun bermula tahun ini, bagi melaksanakan kerja membaik pulih jalan kampung yang rosak di seluruh Terengganu.

Kerja membaik pulih seperti menampal dan menurap melibatkan jalan berdaftar dengan Malaysia Road Registration Information System itu akan diserahkan kepada kontraktor terlatih, Permint Granite-HCM Sdn Bhd.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata kerajaan negeri mahu memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikian itu dapat disiapkan dalam tempoh sehari sebaik sahaja menerima aduan dari orang awam, pejabat daerah, majlis daerah dan juga  pihak berkuasa tempatan.


Katanya, kerajaan menyediakan peruntukan RM45 juta bagi menyelenggara jalan-jalan kampung yang meliputi kawasan seluas 7,500 kilometer dan  tidak terletak di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta tidak diwartakan sebagai Jalan Persekutuan.

“Kerja-kerja yang bermula hari ini bertujuan mengelak berlakunya pelbagai musibah terhadap pengguna jalan raya terutama ketika waktu hujan dan dalam keadaan gelap.


“Orang ramai terutama yang tinggal di kawasan pedalaman perlu mengambil peluang ini dengan membuat aduan kepada pihak berkaitan atau boleh juga melayari  laman web ‘E-tapong’ sekiranya mengetahui terdapat jalan rosak di kawasan masing-masing,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelaksaan Kerja-kerja Penampalan Pothole Jalan Minor di Dataran Permata, Seberang Takir, Kuala Nerus, petang semalam.

Difahamkan laman web ‘E-tapong’ berkenaan akan diaktifkan dalam tempoh  seminggu lagi.


  

Tag: