• 24 Okt 2020 | 7 Rabiul Awal 1442

Terengganu Rai Kejayaan Pelumba Cilik Saingan SIC MiniGP

KUALA TERENGGANU, 1 September - Kerajaan negeri berbesar hati dengan kejayaan mengujakan oleh tiga pelumba cilik yang 'menawan' Pusingan 1 Kejohanan SIC MiniGP 2020 yang berlangsung di Litar Kart Antarabangsa Sepang (SIKC), baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, dua pelumba cilik dari Terengganu, Qabil Irfan Azlan dan Muhammad Hakim Danish Ramli memberikan harapan apabila kedua-duanya memenangi perlumbaan dalam kelas tersendiri.

Pelumba termuda dalam saingan, Qabil yang berusia lapan tahun memenangi kedua-dua perlumbaan dalam kelas 110cc manakala rakan senegeri, Hakim, 13, mengikuti jejak sama dalam kelas lebih tinggi, 160cc.

Qabil melengkapkan 15 pusingan Perlumbaan 1 dengan catatan keseluruhan terpantas, 15 minit 39.347 saat (s) sebelum mengulangi kejayaan sama pada Perlumbaan 2, menemui garisan penamat dengan 15:20.696s.

Hakim pula mencatatkan catatan keseluruhan terpantas Perlumbaan 1 dengan 14:44.554s sebelum melakukan catatan yang lebih baik pada Perlumbaan 2, 14:16.463s sekali gus memberi bayangan mampu menguasai Pusingan 2 yang dijadual berlangsung di litar sama, 6 September ini.

Sementara itu, Adam Danial Abdul Fattah selesa di tempat ketiga dalam kelas 110cc dengan catatan keseluruhan, 15:36.061s pada Perlumbaan 2 di belakang pelumba cilik dari Johor, Arif Anaqi.

Mengulas mengenai kejayaan ketiga-tiga pelumba cilik tersebut, ujar Wan Sukairi, beliau amat berbangga dengan pencapaian anak-anak Terengganu dalam kejohanan sulung itu.

"Hari ini kita raikan adik Qabil Irfan, Hakim Danish dan Adam Danial bersama keluarga mereka dalam jamuan makan tengah hari. Dalam usia yang begitu muda, mereka sudah mampu mencungkil bakat yang dimiliki.

"Kerajaan negeri berbesar hati menghadiahkan helmet yang ditempah khas untuk mereka pakai ketika perlumbaan berserta sijil penghargaan. Kita juga akan mempertimbangkan projek pembangunan khas untuk adik-adik cilik ini," katanya kepada pemberita pada majlis meraikan ketiga-tiga pelumba Kejohanan SIC MiniGP itu di Paya Bunga Hotel (PB Hotel) di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Mohd Izwandy Ismail, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu, Pengarah Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Mohd Nasir Abdul Razak.

Untuk rekod, Kejohanan SIC MiniGP adalah sebahagian daripada MAM SpeedWeek yang akan berlangsung sebanyak lima pusingan di SIKC sehingga Disember membabitkan 21 peserta muda daripada lingkungan umur lapan hingga 13 tahun berentap merebut gelaran.

Inisiatif dilakukan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan kerjasama ZK Racing kendalian ikon dua roda negara, Zulfahmi Khairuddin ini menggunakan jentera BucciMoto BR-10 GP yang berkapasiti 110cc dan 160cc.

Kejohanan ini juga menjadi platform asas untuk peserta membuktikan kemampuan mereka sebelum diberikan peluang menyertai saingan lebih tinggi seperti Asia Talent Cup, European Talent Cup, Kejuaraan CEV di Eropah dan seterusnya ke perlumbaan berprestij, Kejuaraan Motosikal Dunia.


Tag: