• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Salur RM194,760 Bantu Petani, Nelayan Terjejas Bencana

KUALA TERENGGANU, 4 Januari – Kerajaan Terengganu terus membantu rakyat terkesan bencana alam apabila menyalurkan bantuan sebanyak RM194,760.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, golongan tani, penternak dan nelayan yang terlibat dalam musibah seperti ribut dan banjir telah menerima sumbangan berkenaan sejak bulan September lepas.

"Mereka ditimpa ujian seperti bot rosak terkena ombak, ikan dalam sangkar mati, tanaman terkena ribut dan ditenggelami air banjir, haiwan ternakan mati serta dihanyutkan air banjir, kerosakan sangkar ikan, dan beberapa aduan lagi yang kami terima layak diberi bantuan.

"Dari bulan September 2020 sehingga Mesyuarat Jawatankuasa Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu yang terakhir minggu lepas, jumlah yang telah lulus serta telah dibayar saguhati.’

"Ia termasuklah yang sedang dalam proses untuk dibayar ialah seramai 226 pemohon dari semua sektor pertanian, perikanan dan penternakan dengan jumlah bantuan RM194,760,’’ beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, majlis penyerahan bantuan bencana ini tidak diadakan kerana ia disalurkan terus ke dalam akaun penerima bagi memudahkan urusan dan keselamatan daripada virus COVID-19 yang masih belum reda.

"Ini antara Prosedur Operasi Standard (SOP) yang kami buat dengan tujuan untuk menyegerakan bantuan. Tak apalah walau tak nampak gah. Yang penting rakyat dibantu," jelasnya.