KUALA TERENGGANU, 11 Jun 2026 – Kerajaan Negeri Terengganu menyangkal keras dakwaan netizen kononnya tindakan membawa masuk pelabur luar bagi membangunkan sektor agro-makanan sebagai usaha menggadaikan kedaulatan tanah negeri kepada pihak asing.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim menegaskan, sebarang projek pelaburan melibatkan sektor pertanian, penternakan, mahupun perikanan tidak akan sesekali melibatkan pemberian hak milik tanah secara kekal kepada mana-mana pelabur.
Menurutnya, pentadbiran negeri menggunapakai dua kaedah perundangan tanah yang sangat ketat bagi memastikan aset negeri itu sentiasa terpelihara dan selamat.
“Kaedah pertama adalah mewartakan tanah di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) sebelum memberi pajakan kepada pelabur di bawah Seksyen 63 KTN untuk tempoh maksimum 21 tahun. Perjanjian pajakan ini boleh dibatalkan serta-merta jika mana-mana terma perjanjian dilanggar.
“Kaedah kedua pula melibatkan pemberian milik tanah kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT), yang kemudiannya akan memajak tanah tersebut kepada pelabur untuk tempoh maksimum sehingga 30 tahun. Melalui kedua-dua instrumen ini, tanah kekal menjadi milik mutlak negeri," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.
Beliau turut membandingkan ketegasan formula tersebut dengan keputusan pentadbiran kerajaan negeri terdahulu yang pernah memberikan hak milik tanah secara terus di Pulau Redang kepada pihak bukan Melayu sehingga melahirkan geran hak milik kekal atas nama mereka.
Mengulas mengenai kehangatan isu cadangan pembukaan ladang ternakan ayam penelur oleh syarikat Huat Lai Resources Berhad (HLRB) di Terengganu, Dr. Azman menjelaskan langkah itu wajar dilihat dari sudut keterjaminan makanan jangka panjang.
Jelasnya, HLRB merupakan gergasi industri yang kini berpusat di Melaka dengan rekod purata pengeluaran mencecah 8 juta biji telur sehari. Sehingga kini, seluruh wilayah Pantai Timur masih belum mempunyai walau satu pun ladang ayam penelur berskala besar.
“Kita sebelum ini sudah pun berbincang dengan beberapa syarikat bumiputera untuk menggerakkan industri ini, namun usaha tersebut tidak berjaya.
“Kesediaan Huat Lai untuk datang berbincang dan mengembangkan sayap ke Terengganu ini pastinya mengundang pelbagai reaksi positif dan negatif daripada khalayak, memandangkan ini kali pertama ladang berskala mega seumpamanya mahu dibangunkan di Pantai Timur," katanya.
Bagaimanapun, Dr. Azman menepis dakwaan bahawa kerajaan negeri meminggirkan usahawan tempatan demi memberi laluan kepada pelabur besar.
Tegas beliau, Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa meraikan semua pihak dan sehingga kini, sudah banyak syarikat penternakan ayam milik anak watan Terengganu yang dibantu secara konsisten oleh kerajaan sehingga mencapai status berjaya.
Tag :