• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Sasar Bina Mini ‘Slipway’ Di Setiap Daerah

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 22 Julai – Kerajaan Terengganu mensasarkan untuk membina mini ‘slipway’ di setiap daerah bagi memudahkan pembaikian kerosakan kecil bot nelayan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, perkara itu merupakan satu keperluan yang sangat kritikal untuk nelayan menyelenggara bot tanpa melalui jarak yang jauh.

"Saya melihat keperluan ini perlu bagi setiap daerah supaya kerosakan-kerosakan kecil tidak mengambil masa yang lama. Contohnya kerosakan kipas, ia hanya memerlukan pembaikian dalam beberapa hari sahaja.

"Besut, Setiu, Dungun dan Kemaman akan menjadi fokus kita khususnya di daerah-daerah yang sebahagian besar terdiri daripada nelayan bot kelas A dan B yang memerlukan khidmat setempat," jelasnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas meninjau projek pembinaan rumah sejuk beku dan mini 'slipway' di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang, semalam.

Dr Azman (tengah) melihat keadaan semasa rumah sejuk beku.

Mengulas tentang mini 'slipway' di Jeti LKIM yang menelan kos kira-kira RM50,000 itu, beliau memaklumkan binaan telah siap hampir 90 peratus dan dianggarkan mampu menampung bot dalam lingkungan 30 tan.

"Hanya tinggal untuk pasang ‘wings’ untuk menarik bot, kebanyakkan daripada nelayan Marang sama ada nelayan sampan atau fiber, bot kelas A dan B kecil itu sahaja. Maka, dengan saiz ini kita kira sudah memadai.  

"Insya-Allah selepas ini, sasaran kita ialah untuk membina sebuah kilang air batu di sini.

"Sebahagian lagi usaha untuk mempertingkatkan lagi pengeluaran sektor perikanan kita dalam masa yang sama kita tangani isu-isu yang timbul dari semasa ke semasa," jelasnya.

Tambahnya lagi, projek pembinaan rumah sejuk beku dan mini 'slipway' itu merupakan projek yang pertama dibiayai oleh kerajaan negeri di Malaysia. 

Malah, satu-satunya ‘slipway’ yang berada di bawah kerajaan negeri dan ada di daerah Marang kerana di tempat lain dibina oleh pihak swasta.

"Alhamdulillah projek bilik sejuk yang telah dimulakan pembinaannya di sekitar bulan Oktober tahun lepas siap dibina. Ujian operasi telah dibuat dan ia  beroperasi dengan baik. 

"Ia akan dimanfaatkan oleh nelayan-nelayan Marang dalam kapasiti simpanan kira-kira 10 tan ikan atau hasil laut dalam satu-satu masa," katanya.