• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Sasar Peningkatan Lima Peratus Hasil Ikan Zon A

KUALA NERUS, 9 Oktober – Kerajaan negeri menyasarkan pengeluaran ikan di pesisir pantai (Zon A) sekitar lima peratus sempena Tahun Pertanian 2021 selepas melaksanakan inisiatif memperkayakan sumber hasil laut tersebut di perairan Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sasaran dibuat melihat kepada peningkatan sebanyak 4.8 peratus tahun 2020 masing-masing 17,266.1 tan matrik berbanding tahun 2019 sebanyak 16,462.2 tan matrik

“Bermula tahun 2018, kerajaan negeri telah mula bergiat dalam program membina dan melabuh unjam di seluruh negeri Terengganu, kenaikan hasil program memperbanyakkan sumber nelayan boleh dibuktikan dengan data terkini.

“Fokus kita adalah nelayan pantai, kerana kategori zon A ini kelompok masyarakat yang berada di bawah golongan B40.

“Sehingga kini, 188 orang nelayan di tujuh daerah mendapat manfaat program pembinaan unjam 2021 dengan 320 unit berjaya dilabuhkan dengan peruntukkan kerajaan negeri sebanyak RM160,000,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Labuh Tukun Tiruan, di perairan Tok Jembal Kuala Nerus, pagi Khamis.

Turut hadir, Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat, Pengarah Pertanian Negeri Terengganu Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab.

Menurutnya lagi, sebanyak 27 unit tukun tiruan rekreasi telah dilabuhkan pada siri jelajah keempat di Kuala Nerus, diikuti dengan Setiu (Kuala Setiu) pada 17 Oktober ini.