• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Terengganu Sedang Siapkan Pelan Tindakan Bandar Pintar

KUALA TERENGGANU, 28 November - Kerajaan negeri sedang menyediakan pelan tindakan bandar pintar melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata ia melibatkan empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun dan Marang melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sedang melaksanakan kajian bandar pintar.

"Matlamat kajian ini adalah bagi penyediaan dasar-dasar berkaitan dengan bandar pintar, selamat, bandar hijau serta bandar rendah karbon untuk dijadikan panduan utama serta hala tuju kepada agensi-agensi kerajaan negeri serta pihak-pihak berkepentingan yang lain.

"Selain daripada itu juga, kerajaan negeri sangat komited dalam membangunkan bandar-bandar baharu seperti Kuala Terengganu City Centre (KTCC), Bandar Baru Bukit Besar, Bandar Baru Al-Wathiqu Billah Kuala Nerus, Bandar Baru Kijal dan Bandar Lestari Kuala Terengganu dengan menerapkan elemen-elemen perbandaran baharu," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 (Bajet), di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut katanya, penyediaan pelan tindakan itu turut melibatkan kerjasama antara unit 'smart city' Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Ibu Pejabat dengan jabatan dan agensi berkepentingan negeri.

"Kajian 'blueprint' ini dilakukan secara 'in house' dan ia sangat penting bagi memastikan pembangunan bandar-bandar baharu yang akan mengambil kira elemen-elemen perbandaran baharu yang selari dengan hala tuju di peringkat nasional dan juga antarabangsa.

"Dilaksanakan melalui peruntukan daripada kerajaan negeri sebanyak RM150,000 sedang berada di peringkat draf laporan awak dan akan dilaksanakan dalam tempoh sepuluh bulan," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, sesi soal selidik bagi mendapatkan pandangan awam, agensi serta pandangan pemain industri telah bermula pada 26 oktober sehingga 16 November yang lalu.

"Bagi mendapatkan input terhadap cabaran dan perkhidmatan perbandaran serta tahap kesediaan daripada aspek penggunaan digital, kepuasan serta kefahaman berkaitan dengan bandar pintar.

"Sesi libat urus bersama orang-orang awam, PBT, agensi negeri dan pihak-pihak berkepentingan lain juga akan turut dilaksanakan bagi mengenal pasti tahap kesediaan pelaksanaan bandar pinta melalui inisiatif yang sedang dirancang atau dalam pelaksanaan," katanya.