• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Serap Kurikulum PASTI Ke Dalam Sukatan Taska

Ustaz Wan Sukairi menyampaikan sijil hafazan kepada anak-anak Taska yang berjaya.
KUALA TERENGGANU, 6 November - Kerajaan Terengganu bercadang untuk memanfaatkan kurikulum terbaik dalam Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) untuk diserapkan ke dalam Taska menjadi sukatan pembelajaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri tidak kisah (mengambil panduan) daripada sesiapa tapi PASTI adalah terbaik dan terbukti keberkesanannya.

Sehubungan itu, modul kebangsaan yang digunakan taska terbabit akan ditambah baik  dengan mengambil kira kurikulum yang sedia ada.

“Kita tahu perkembangan semasa  teknologi (maklumat) dan pembaharuan  teknik-teknik (untuk menghasilkan) modul yang terbaik.

“Ia akan diaplikasikan pada keseluruhan 166 buah taska dalam negeri Terengganu,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Hafaz Muqaddam dan Graduasi Kanak-kanak Taska Permata Keluarga Parlimen Kuala Terengganu 2018 di Dewan Besar Wisma Darul Iman, semalam.


Seramai 211 orang anak-anak didik Taska Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) berjaya menghafal 23 surah daripada juzuk ‘amma’.

Jumlah tersebut adalah daripada jumlah keseluruhan pelajar daripada sembilan buah Taska Permata di bawah seliaan YPK  dalam parlimen Kuala Terengganu.

“Di peringkat negeri Terengganu, kita telah berjaya mengeluarkan seramai 1,170 pelajar berumur tiga dan empat tahun di yang berjaya di peringkat hafazan mukaddam.

“Saya juga suka menyatakan bahawa kerajaan negeri memberikan komitmen penuh terhadap usaha yang dilakukan oleh  YPKT,” jelasnya.

Dalam pada itu, menurutnya, komitmen kerajaan negeri menguruskan pengurusan taska tersebut akan diteruskan pada masa akan datang.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Amzad Hashim.

Tag: