KUALA TERENGGANU, 21 Disember - Selain penganjuran program sukan, kerjasama anak-anak syarikat kerajaan negeri dan pihak swasta turut ditagih dalam pembangunan infrastruktur dan kemudahan sukan bagi meningkatkan kemampuan Negeri Terengganu melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berpandangan bahawa pihak-pihak swasta perlu mula melibatkan diri dalam pembangunan infrastruktur secara bersepadu bersama dengan pihak kerajaan.
"Saya kongsi tuan-tuan sekalian sedikit pengamatan saya sewaktu berada di Bangkok.
"Perkara paling penting yang saya lihat adalah kemudahan yang telah diperkenalkan di negara Thailand dalam semua jenis sukan yang melibatkan pihak kerajaan dan pihak swasta sehingga kemudahan-kemudahan ini standardnya jauh berbeza dengan kita.
"Kita tidak persoalkan dari segi aspek pencapaian mereka dalam Sea Games pada kali ini.
"Tetapi, daripada sudut fasiliti dan penganjuran kejohanan begitu rancak secara bulanan di kompleks-kompleks pasaraya seperti acara Muay Thai yang telah siap jadual secara setahun.
"Alangkah indahnya kalau negeri kita juga memulakan langkah-langkah seperti ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan International Golden Monsoon Ride and Run (IGMRR) 2025 di sini, semalam.

"Mudah-mudahan aktiviti berbasikal, aktiviti kesukanan yang dianjurkan oleh pihak GLC, syarikat swasta dan lain-lain mampu untuk merancakkan lagi pembangunan sukan akar umbi di peringkat negeri Terengganu secara berterusan insya-Allah," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh itu turut menzahirkan penghargaan kepada penganjuran IGMRR 2025 yang mendapat penyertaan terbanyak setakat ini dengan 4,200 peserta termasuk dari Negara Thailand dan Singapura.