Terengganu Skills Lancar Program Pemasangan dan Penyelenggaraan Sistem Solar Fotovolta
Abdul Fattah Kamarudin
03 Jul 26
19
MARANG, 1 Julai – Terengganu Skills terus memperkukuhkan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang tenaga boleh baharu menerusi pelancaran Program Pemasangan dan Penyelenggaraan Sistem Solar Fotovolta tajaan Yayasan Axiata.
Timbalan Exco Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Sulaiman Sulong berkata, program itu merupakan langkah strategik dalam melahirkan tenaga kerja mahir dan kompeten bagi memenuhi permintaan industri tenaga hijau yang semakin berkembang.

"Melalui tajaan Yayasan Axiata, seramai 20 peserta akan mengikuti latihan intensif selama empat bulan dalam bidang pemasangan dan penyelenggaraan sistem solar fotovolta.
"Program ini turut menawarkan pensijilan profesional di bawah Sustainable Energy Development Authority (SEDA) Malaysia dengan sasaran mencapai 100 peratus kebolehpasaran pekerjaan selepas tamat latihan," katanya.

Tambah beliau, inisiatif berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada golongan belia memperoleh kemahiran berimpak tinggi, malah menjadi pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan bagi menyokong pertumbuhan industri tenaga boleh baharu serta agenda pembangunan mampan negara.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Yayasan Axiata atas komitmen dalam menjayakan program tersebut, selain mengiktiraf peranan Federation of Malaysian Skills Development Centres (FMSDC) yang terus memperkukuhkan ekosistem TVET melalui jaringan kerjasama, perkongsian kepakaran dan peningkatan kualiti latihan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Axiata, Mohamad Kamal Nawawi berkata, kerjasama bersama Terengganu Skills merupakan sebahagian daripada komitmen yayasan dalam memperluaskan akses kepada latihan kemahiran berkualiti serta melahirkan modal insan yang berdaya saing bagi memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Program tersebut merupakan antara inisiatif strategik dalam memperkukuhkan ekosistem TVET di Terengganu, sekali gus menyokong agenda peralihan tenaga negara melalui penyediaan tenaga kerja mahir dalam bidang tenaga boleh baharu yang semakin mendapat permintaan industri.
Tag :