• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Tawar Diskaun Sehingga 65 Peratus Sempena MITA Fair Travel 2017



Tengku Zaihan ketika sidang media mengenai MITA Fair Travel 2017, di Wisma Darul Iman, hari ini.  Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail

Terengganu bakal menawarkan diskaun sehingga 65 peratus bagi pakej pelancongan dalam Malaysia Inbound Tourism Association (MITA) Travel Fair 2017 yang berlangsung di Mines International Exhibition & Convention Centre, Seri Kembangan, Selangor pada 24 hingga 26 Februari ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri II, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, sebanyak 19 agensi pelancongan dan hotel termasuk usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) dari Terengganu akan menyertai MITA Travel Fair berkenaan.

Katanya, bagi pengunjung yang mengunjungi pameran pelancongan tersebut, pelbagai diskaun pakej-pakej pelancongan disediakan di booth pameran Terengganu sepanjang tiga hari itu.

“Antara promosi yang disediakan adalah diskaun sebanyak 65 peratus di Duyong Marina & Resort, tawaran harga bilik Deluxe serendah RM188 dengan diskaun sebanyak 51 peratus di Primula Beach Hotel serta tawaran harga pakej pelancongan tiga hari, dua malam berharga RM1,000 dengan diskaun sebanyak 40 peratus di Bubu Long Beach Resort, Pulau Perhentian.

“Selain itu, terdapat juga tawaran diskaun sebanyak 46 peratus bagi bilik di TY Hotel menjadikannya RM79 sahaja untuk satu malam, pakej penginapan RM379 dengan diskaun sebanyak 44 peratus di Terrapuri Heritage Village dan tawaran harga pakej pelancongan tiga hari, dua malam RM650 seorang dengan diskaun sebanyak 38 peratus di Summer Bay Lang Tengah Resort,” katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam sidang media sempena Penyertaan Terengganu Dalam MITA Fair Travel Fair 2017 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Faisal Tun Abdul Razak dan Pengurus Promosi Sekretariat Beautiful Terengganu, Ahmad Fathil Abd Ghani.

Tambah Tengku Zaihan, Terengganu bakal membawa keistimewaan kepada pengunjung yang hadir ke booth penggiat pelancongan negeri di MITA Travel Fair tersebut.

“Dekorasi booth kita akan berkonsepkan seni dan kebudayaan Negeri Terengganu selain menampilkan lebih banyak gambar 3D.

“Kita mahu menarik lebih ramai pengunjung ke booth yang disediakan di samping menjadi pemangkin kepada pengunjung sebelum mereka merasai sendiri suasana sebenar di Terengganu kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zaihan berkata, kerajaan negeri mensasarkan jualan pakej pelancongan sepanjang MITA Travel Fair pada kali ini sebanyak RM200,000.

Katanya, untuk tahun lalu, jualan pakej pelancongan berjumlah RM131,298 telah berjaya diperolehi oleh pengusaha-pengusaha pelancongan yang menyertai MITA Travel Fair 2016.

Tag: