• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Terengganu Terima Kunjungan Duta Besar Korea

KUALA TERENGGANU, 25 Julai – Kerajaan Terengganu hari ini menerima kunjungan Duta Besar Republik Korea, Tuan Yang Terutama (TYT) Yeo Seung-Bae.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kunjungan tersebut bertujuan bagi membincangkan isu kepentingan bersama dan kerjasama memperkukuh hubungan Terengganu-Korea Selatan.

"Duta Besar Republik Korea bersama delegasi itu sempat singgah di Kertih Industrial Park sebelum ke sini.

"Semoga ada kerjasama yang dapat dijalinkan antara kedua-dua pihak yang memberi manfaat kepada yang terlibat khususnya rakyat Terengganu," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan di laman Facebook Rasmi miliknya pada hari ini.

Ahmad Samsuri sempat berseloroh, untung orang Korea tahun ini, jadi muda setahun atau dua.

“Sebelum ini, Korea mempunyai sistem mereka tersendiri dalam pengiraan umur. 

“Biasanya akan lebih tua setahun atau dua berbanding usia di peringkat global atau biasa disebut ‘international age’. Unik sungguh budaya yang berbeza ini,” ujarnya.