• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Terus Komited Beri Lesen Motosikal Percuma

SETIU, 24 Ogos - Kerajaan negeri terus komited dalam meneruskan pemberian lesen motosikal percuma di bawah Program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) kepada belia di negeri ini.

Pegawai Peyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, kerajaan telah berjaya melaksanakan janji itu tidak sampai tiga tahun memerintah dengan memberi manfaat kepada 880 peserta bagi DUN berkenaan.

“Daripada jumlah itu, DUN Batu Rakit mencatatkan permohonan 570 permohonan di semua 42 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Bagi pemohon yang gagal untuk tahun ini, mereka boleh mohon lagi tahun depan dengan mengisi kembali borang, jika ada sebarang maklumat yang perlu diubah dan diperbaharui. Keutamaan akan diberikan kepada mereka yang gagal pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) Tahun 2020 di Dewan Sivik Pantai Batu Rakit, di sini kelmarin.

Turut hadir, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera i-MiTs Batu Rakit, Mohd Pauzi Muda dan Inspektor Balai Polis Batu Rakit, Tuan Aizul Abdul Karim.

Jelas Mohd Shafizi, sebanyak 12 institut memandu telah terlibat bagi menjayakan program di seluruh Terengganu.

“Melalui pemberian lesen motosikal kepada belia ini, kita harap ia dapat mengurangkan gejala rempit, dengan pendedahan melalui taklimat-taklimat yang telah diatur sepanjang menjalani ujian untuk mendapatkan lesen, supaya golongan ini lebih peka akan bahaya-bahaya di jalan raya dan kesannya.

“Selain itu, kerajaan juga mahu mengurangkan beban keluarga yang sebelum ini terpaksa membayar RM300 untuk mendapatkan lesen berkenaan,” katanya.