Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Terus Sedia Modal Niaga Tanpa Riba RM1.6 Juta Untuk Belia
Terengganu Terus Sedia Modal Niaga Tanpa Riba RM1.6 Juta Untuk Belia
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
50

KUALA TERENGGANU, 21 Oktober – Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu meneruskan lagi peruntukan sebanyak RM1.6 juta menerusi Dana Usahawan Terengganu (DUTE) bagi tahun 2026 untuk membantu usahawan belia memulakan dan mengembangkan perniagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, peruntukan itu melibatkan RM50,000 bagi setiap Dewan Undangan Negeri, sama seperti tahun sebelumnya.

“Melalui inisiatif ini, kita menyediakan sokongan kewangan kepada usahawan bagi memenuhi keperluan perniagaan termasuk pembelian peralatan, penambahbaikan operasi, peningkatan kapasiti pengeluaran serta pemasaran produk dan perkhidmatan.

“Justeru, pegawai yang bertanggungjawab (PIC) di setiap DUN diminta mengingatkan penerima supaya menggunakan bantuan yang disalurkan secara berhemah dan mengikut tujuan yang telah diluluskan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Dana Usahawan Terengganu (DUTE) 2026 dan Majlis Penyerahan Replika Cek kepada Penerima Skim TUGAS kali ke 3-2026 di Hotel Primula, di sini, semalam.

Katanya, setiap perbelanjaan perlu memberi manfaat langsung kepada perkembangan perniagaan, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan serta memperbaiki taraf hidup keluarga.

“Walaupun jumlah bantuan yang diterima mungkin tidak dapat memenuhi keseluruhan keperluan sesebuah perniagaan, penggunaannya secara berhemah dapat membawa perubahan besar kepada perkembangan usahawan,” ujarnya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan