• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Terengganu Umum Insentif Buat Azizulhasni Dalam Masa Terdekat

KUALA TERENGGANU, 9 Ogos - Kerajaan negeri akan mengumumkan ganjaran buat wira olimpik negara, Dato' Mohd Azizulhasni Awang dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pemberian insentif berkenaan sebagai penghargaan kepada 'The Pocket Rocketman' atas kejayaan memenangi pingat perak acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini.

“Kerajaan negeri sudah bersetuju memberikan insentif selepas beliau meraih pingat perak yang turut dianggap pencapaian luar biasa.

“Azizul merupakan model terbaik dengan pengorbanannya berjauhan daripada keluarga dan negara, jadi, ini antara usaha kita membalas sumbangan beliau,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada perlumbaan final di Veledrom Izu semalam, Azizul berada di tempat kedua di belakang pelumba Britain, Jason Kenny, manakala pingat gangsa dimenangi Harrie Lavreysen dari Belanda.

Mengulas lanjut, kecemerlangan Azizul nyata mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Katanya, semua itu hadir apabila pelumba berusia 33 tahun itu kental dan mempunyai pengorbanan tinggi walaupun bapanya kini terlantar sakit di Kampung Nibong Stesen, Dungun.

"Saya begitu teruja dan bangga dengan semangat melawan ditunjukkan beliau ketika melakukan kayuhan untuk memburu pingat.

"Walaupun tidak dapat meraih pingat emas, tapi situasi semasa dengan bapanya terlantar sakit, beliau dapat meraih pingat perak yang begitu membanggakan.

"Ini satu perjuangan begitu hebat daripada anak muda yang bertubuh kecil tapi bersemangat waja untuk mengharumkan nama negara di persada dunia.

"Azizul dapat mengimbangi emosi dengan semangatnya untuk memburu kejayaan buat negara," jelasnya.

Wan Sukairi mewakili kerajaan negeri turut mengucapkan tahniah Azizul.

Untuk rekod, sebelum ini, kerajaan negeri memberi RM100,000 kepada Azizulhasni dan pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad sebagai persediaan menjelang temasya sukan terbesar dunia itu.


Tag: