Sembilan Negara Sertai Candat Sotong di Terengganu Sempena Sail Malaysia
Terengganu Yakin Mampu Capai Sasaran 8.5 Juta Pelancong Tahun Ini
KUALA NERUS, 22 April - Kerajaan negeri meletakkan sasaran 8.5 juta pelancong berkunjung ke Terengganu sepanjang tahun ini dan yakin mampu mencapai sasaran tersebut dengan pelbagai program yang telah dirangka.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong berkata, suku pertama tahun ini telah berjaya mencatat kehadiran 2.1 juta pelancong walaupun Terengganu berhadapan dengan cabaran musim Monsun Timur Laut serta beberapa destinasi pantai peranginan yang masih belum dibuka sepenuhnya.
"Tahun lalu, kita telah meletakkan sasaran sebanyak 4.5 juta pelancong ke Negeri Terengganu dan kita berjaya mencatatkan kehadiran 7.8 juta pelancong, jauh melepasi sasaran yang ditetapkan, ini adalah petanda yang sangat positif.
"Bagi memastikan industri pelancongan Terengganu terus berkembang secara mampan dan kekal kompetitif, kerjasama erat antara semua pihak termasuk Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri, NGO, serta para penggiat industri adalah amat penting," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sesi Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Terengganu 2025 di Raia Hotel & Convention Centre, semalam.
Turut hadir, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy.
Sementara itu, mengulas mengenai progam tersebut Sulaiman berkata, ia secara tidak langsung membuka ruang kepada semua pihak bagi mendengar pandangan serta cadangan daripada pemain industri dengan tujuan penambahbaikan dan perancangan masa hadapan.