• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

SETIU, 8 Mac - Tiada ungkapan yang mampu diucapkan seorang peniaga kecil melainkan ucapan terima kasih kepada Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu selepas menerima Bantuan Perniagaan Peniaga Kecil Terengganu semalam.

Nazlizawati Abdullah, 39 atau lebih mesra panggilan Kak Za yang hampir tiga tahun terlibat dalam bisnes pembuatan kek dan roti menerima sebuah pengadun dan ketuhar di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri.

"Saya banyak terima tempahan melalui orang kampung, kawan-kawan dan saudara mara."

"Antara jenis-jenis roti yang saya buat roti maxico, roti keju, roti sarang lebah, roti krim, roti sambal ayam, donut dan kuih tempahan," katanya ketika ditemui wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sini.

Turut bersama Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Permaisuri, Zul Bhari A Rahman yang menyaksikan majlis penyerahan oleh YPU kepada penerima.

Nazlizawati berkata, dia juga merupakan pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu serta dua dalam bidang latihan bakeri dan pastri di bawah program Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

"Suami antara tulang belakang yang banyak menyokong kerja-kerja saya selama ini di samping latihan yang berterusan," jelasnya lagi.