• 29 Nov 2021 | 23 Rabiul Akhir 1443

Terramalai, Bakal Jadi Produk Pelancongan Terbaharu Di Terengganu

KUALA NERUS, 9 Mac - The Land of Malaya Architecture (Terramalai)yang berkonsepkan senibina Rumah Tradisional Melayu bakal menjadi tarikan terbaharu kepada pelancong apabila dibuka kepada orang ramai Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin  Deraman berkata, kesenian rumah-rumah tradisional yang dipamerkan adalah sangat unik kerana ia mewakili setiap negeri di Malaysia.

Katanya, walaupun Terramalai milik persendirian tetapi kerajaan negeri sentiasa memberi galakan kepada sesiapa sahaja pemain industri  untuk melaksanakannya asalkan ia boleh majukan Terengganu.

 

"Saya difahamkan pemilik Terramalai  sedang berusaha mendapatkan semua rumah tradisional seluruh negara untuk dibawa ke sini, dan membangunkan semula lima buah istana lama.

"Kalau tempat ini siap, ia akan  menjadi tarikan baharu atau lebih tepat sebagai kampung budaya kedua," ujarnya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan Lawatan Ke Produk Pelancongan Community Based Tourism Ke Lokasi-Lokasi Sekitar Kuala Nerus di sini hari ini.

Sementara itu, pemiliknya , Alex Lee berkata idea untuk membina Terramalai lahir selepas kejayaan Terrapuri Heritage Village di Kampung Mangkuk, Setiu.

Beliau berkata jika di Terrapuri mempamerkan keindahan istana zaman silam jadi mengapa dia tidak mewujudkan satu warisan untuk rumah tradisional secara setempat di tanah seluas 1.012 hektar di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit.

"Untuk permulaan, tiga buah Rumah Tradisional Purba Melayu sedang dibina iaitu rumah berserambi satu dan bertanjung (rumah negeri Sembilan), rumah berserambi berpelah (Kelantan) dan rumah potong Belanda (Terengganu).

"Selain itu juga terdapat lima buah istana lama Terengganu yang digabungkan dengan menggunakan konsep berangkai Istana Tengku Mariam Kembang Puteri (Istana Terengganu) sebagai muzium," ujarnya lagi.

Menurut Alex, sehingga kini kos pembinaan tiga rumah tersebut melibatkan RM1.5 juta termasuk kelengkapan perabot antik yang didatangkan mengikut negeri masing-masing.