• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Terus Komited Gayakan Hidup Aktif - Dr. Sam

KUALA TERENGGANU, 9 Oktober - Penganjuran Hari Sukan Negara perlu dimanfaatkan rakyat khususnya rakyat Terengganu dalam menggayakan cara hidup sihat dan aktif.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keadaan semasa yang melanda tidak seharusnya menghalang individu dan masyarakat daripada membina cara hidup sihat.

"Saya menyeru semua rakyat Terengganu untuk mengambil peluang dan semangat Hari Sukan Negara dengan terus mengaktifkan anggota keluarga masing-masing supaya kita sihat dan mampu melawan apa jua virus yang ada di sekeliling kita.

"Mungkin tidak terfikir bagaimana keadaan ini hadir dalam kehidupan kita, namun ia tidak menghalang membangunkan budaya sukan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang kedia selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2021 peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Hadir bersama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT), Mohd Izwandy Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Jelasnya,  semua aktiviti dan pertandingan sempena sambutan tersebut dilakukan secara maya berikutan prosedur operasi standard (SOP) penganjuran secara besar-besaran.

"Apapun tahniah kepada Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan NGO dan JBSNT yang telah melakukan yang terbaik hari ini.

 "Juga, terima kasih kepada yang telah menjayakan, bukan sahaja yang ada dalam dewan tetapi yang turut menyaksikan secara maya", katanya.

Berbasikal menjadi antara budaya sukan yang semakin digemari rakyat Terengganu. (gambar ehsan pembaca)

 


Tag: