lightning-solid
Berita :
TFC Perkenal Jenama Trivet, Sasar Tambah Pendapatan Kelab
TFC Perkenal Jenama Trivet, Sasar Tambah Pendapatan Kelab
Noraini Jusoh
8 jam yang lepas
154

KUALA NERUS, 19 Julai – Terengganu FC (TFC) memperkenalkan jenama pakaian rasminya sendiri Trivet menerusi penganjuran Trivet Football Day 2026 sebagai usaha memperkukuh penjenamaan kelab serta menjana sumber pendapatan baharu.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, jenama Trivet akan digunakan sebagai pakaian rasmi semua pasukan di bawah TFC, termasuk skuad utama dan pasukan pembangunan belia.

Menurutnya, pelancaran jenama itu bukan sahaja memenuhi keperluan pasukan TFC, malah disasarkan menjadi pilihan kelab dan pasukan bola sepak lain pada masa hadapan.

"Ini merupakan percubaan baharu TFC dalam usaha menambah pendapatan kelab bagi musim ini dan musim-musim akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Program Trivet Football Day 2026 di Perkarangan Padang Latihan Stadium Gong Badak, di sini, semalam.

Menurut beliau, Trivet Football Day 2026 dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti berteraskan bola sepak yang memberi fokus kepada pembangunan akar umbi di Terengganu.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan penyertaan kebanyakan pasukan dari Terengganu serta pasukan luar termasuk Kelantan.

"TFC membuka penyertaan kepada semua pasukan bagi memeriahkan penganjuran dan pada masa sama memperkukuh pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi," katanya.



Tag :

Artikel Berkaitan