• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

THT Sasar Kedudukan Terbaik Liga Hoki Malaysia 2021

KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Meskipun berdepan kekangan akibat pandemik COVID-19, Pasukan Hoki Terengganu (THT) tetap meletakkan sasaran mencapai kedudukan terbaik dalam saingan Liga Hoki Malaysia 2021.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, walaupun tidak dibarisi pemain import dalam saingan kali ini, pasukan tersebut tetap berazam menawarkan aksi terbaik sebaik tirai kejohanan dibuka 11 Mac ini.

"Sememangnya kita mahukan yang terbaik kerana bukan kita sahaja yang berdepan dengan isu pemain import, semua pasukan terjejas dan ini merupakan kelebihan kepada pasukan kita.

"Kepada para pemain dan pegawai yang turut bersama dalam gelembung sukan Liga Hoki Malaysia, diharap dapat megikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan supaya tidak menjejaskan permainan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sini hari ini.

Jelasnya, disebabkan pendemik, THT turut berdepan cabaran dalam mempersiapkan pasukan untuk kejohanan tersebut.

"Sebagai kerajaan, kita masih berharap pada sukan ini yang menjadi antara teras kepada sukan Terengganu dalam usaha menjadi negeri yang menguasai sukan hoki pada peringkat lebih tinggi.

"Saya akui, kita berdepan cabaran terutama jumlah tajaan berkurang berbanding tahun lepas dan paling ketara apabila kita tidak dapat menghantar pasukan Hoki Wanita Terengganu (LTHT). Tetapi, apa yang perlu dilakukan oleh pasukan ialah memberi lebih komitmen," katanya.

Sementara  itu, Timbalan Presiden Persatuan Hoki Terengganu, Mohd Fikri Harun optimis dengan pasukan yang dibentuk bagi kejohanan berkenaan.

"Dengan ketiadaan pemain import, ini menjadi peluang pemain tempatan untuk menyerlahkan bakat masing-masing.

"Kita juga telah panggil dua pemain Terengganu yang bermain dengan pasukan TNB sebelum ini iaitu Mohamad Akhimullah Anuar Esook dan Syarman Mat Tee, serta beberapa pemain kita yang mewakili negara dalam Olimpik remaja, jadi kita yakin boleh bersaing lebih jauh," katanya.

Persatuan Hoki Terengganu turut menyasarkan membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala berikutan saingan yang kian terbuka pada kali ini.

"Kekuatan semua pasukan kali ini agak seimbang, namun berdepan jadual yang padat kita merangka pelbagai pelan untuk meminimumkan kecederaan pemain.

"Lebih menarik, sebanyak enam pemain Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu turut dipanggil mewakili THT kali ini. Ia sebagai langkah awal kepada impian negeri Terengganu yang menyasarkan untuk menggunakan 100 peratus tenaga muda SUKMA pada masa akan datang," katanya.

Untuk Makluman, Persatuan Hoki Terengganu akan memperkenalkan pemain dan penaja pasukan THT bagi saingan Liga Hoki Malaysia 2021 secara langsung di laman Facebook TV Darul Iman, pada jam 9.00 malam ini.

 


Tag: