• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

THT Tagih Sokongan Padu Penyokong Malam Ini

Fitri Saari (tengah).

KUALA LUMPUR, 22 Februari - Fitri Saari berharap penyokong Terengganu akan membantu menyemarakkan semangat pasukannya ketika aksi balas dendam menentang UniKL dalam perlawanan akhir Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, malam ini.

Kapten Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu berkata, kehadiran penyokong yang ramai pasti meningkatkan lagi semangat pemain, seterusnya memberi mereka sedikit kelebihan untuk membenam ego UniKL.

"Kehadiran penyokong yang ramai memberi impak kepada permainan kami kerana 'disuntik' oleh sorakan semangat penyokong.

"Saya yakin penyokong kita dapat melakukan. Oleh itu saya harap Stadium Hoki Bukit Jalil akan dibanjiri penyokong Terengganu malam ini," katanya ketika dihubungi media.

Dalam pada itu Fitri berkata, persiapan pasukannya untuk menghadapi perlawanan malam ini berjalan lancar dengan kesemua rakan sepasukan berada pada tahap terbaik.

"Apa pun kita juga mengharapkan doa daripada penyokong-penyokong di seluruh Terengganu yang tidak berkesempatan hadir," tambah beliau.

Pada perlawanan malam ini, THT turun selaku juara bertahan Piala TNB manakala UniKL yang baru sahaja dinobatkan sebagai juara liga pastinya mahu merampas kejuaraan itu.


Untuk rekod, dalam dua perlawanan liga musim ini, UniKL menang tipis ke atas THT sekali gus mereka dianggap pasukan pilihan.

Tag: