• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Tiada Kaedah Sambil Lewa Untuk Kekalkan Kemenangan



Barisan Nasional (BN) dan UMNO yakin dapat mempertahankan kerusi yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato' Abdul Rahman Dahlan berkata, pihaknya telah membuat analisa yang mendalam mengenai kedudukan kerusi yang dimenangi BN dan UMNO.
"Kita akan ambil langkah yang bersesuaian termasuk ada yang memerlukan penerangan, penambahan ahli dan juga ada yang memerlukan kepimpinan atau calon yang baru.
"Ini semua telah diperincikan dan kita tidak akan mengambil pendekatan sambil lewa untuk mempertahankan kerusi-kerusi ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kuala Nerus di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Dato' Basir Ismail.
Abdul Rahman yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri berkata, seluruh jentera parti akan bekerja keras demi memastikan kemenangan berpihak kepada BN dan UMNO pada pilihan raya akan datang.
Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh anggota parti agar berpegang kepada tiga perkara iaitu bersatu padu, ikhlas dalam perjuangan dan sentiasa setia kepada pemimpin supaya parti BN dan UMNO terus menerajui negara ini.

Tag: