Berita :
Tiada Kemalangan Akibat Pemandu Mabuk di Terengganu
Tiada Kemalangan Akibat Pemandu Mabuk di Terengganu
Rohayati Ripin
4 jam yang lepas
85

KUALA TERENGGANU, 1 April – Tiada kes kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk direkodkan di Terengganu sepanjang tempoh 2023 hingga 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pihak polis telah mengesahkan tiada insiden seumpama itu berlaku di negeri ini dalam tempoh berkenaan.

Menurutnya, pelaksanaan dasar sifar alkohol bukanlah sesuatu yang mudah, khususnya dalam konteks pelancongan patuh Syariah dan mesra Muslim turut melibatkan kehadiran pelancong bukan Islam.

“Kerajaan negeri mengambil pendekatan tegas dengan tidak lagi mengeluarkan lesen baharu bagi penjualan arak, manakala lesen sedia ada dihapuskan secara berperingkat.

“Hasil daripada langkah ini, kita dapat melihat perubahan positif apabila budaya mabuk semakin tidak diterima di negeri Terengganu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Wisma Darul Iman, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, penubuhan jawatankuasa kecil amat penting bagi menilai setiap program yang dianjurkan sifar allkohol.

“Tingkah laku mabuk tidak diterima di Terengganu. Justeru, jawatankuasa kecil ini diperlukan untuk memastikan setiap program yang dilaksanakan tidak berkait dengan unsur tersebut.

“Dari segi penganjuran acara, pendekatan yang diambil bukan sekadar larangan keras, sebaliknya memastikan pengunjung hadir untuk menikmati persembahan atau program dalam keadaan normal dan terkawal,” tegasnya.

Beliau menambah, pendekatan itu bukan sahaja mengekang isu mabuk akibat minuman, malah turut merangkumi kaedah pelaksanaan acara agar tidak mendorong sebarang pelanggaran norma, termasuk aspek keselamatan seperti pemanduan.

Katanya, matlamat utama adalah memastikan setiap pengunjung hadir dalam keadaan terkawal dan beradab, sama ada untuk menyaksikan persembahan atau menyertai aktiviti pelancongan di negeri ini.

Oleh itu jelas beliau, peranan jawatankuasa kecil tersebut perlu terus diperkasakan dan diperkemas.

Walaupun tidak didaftarkan secara rasmi, katanya, jawatankuasa itu akan terus berfungsi sebagai mekanisme pemantauan dengan memastikan setiap program berskala besar di bawah Jabatan Pelancongan dinilai terlebih dahulu.

“Lesen penjualan arak sedia ada akan dihapuskan secara berperingkat, manakala tiada lesen baharu akan dikeluarkan,” tambah beliau.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan