• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Tiada Kenyataan Rasmi Dari PAS Berhubung Pelawaan Tun M


KUALA NERUS, 9 Julai - Naib Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa tidak ada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh parti itu berhubung pelawaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengajak semua parti politik Melayu termasuk PAS dan Umno menyertai Bersatu.

“Setakat ini tiada pendirian rasmi dari PAS sebab isu penggabungan dan sebagainya ini adalah isu yang menyentuh bidang kuasa Majlis Syura ulama’ PAS Pusat yang akan membuat pertimbangan,” ujarnya bagi mengulas mengenai pendirian PAS mengenai pelawaan tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bengkel Penyediaan Pelan Induk Pembangunan Sukan Sepuluh Tahun Negeri Terengganu (2021-2030) di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah MSNT, Ibnu Amin Busu.


Beliau menyifatkan perkara berkenaan mudah untuk disebut daripada dibuat kerana tentunya terdapat cabaran dan bermacam isu yang kompleks terpaksa ditangani terlebih dahulu.

“Pada saya apa yang penting pada waktu ini adalah memastikan keharmonian dalam masyarakat itu tidak terjejas, sebabnya setiap manusia mempunyai pandangan berbeza berdasarkan parti politik masing-masing.

“Tapi akhirnya yang penting adalah politik yang dibawa oleh mana-mana parti sekalipun haruslah politik yang harmoni dan politik yang tidak memusnahkan apatah lagi perlu menghindari fitnah ,adu domba dan seumpamanya.

“Jadi, saya rasa itulah yang perlu diutamakan terlebih dahulu pada peringkat ini untuk memastikan keharmonian yang menjadi titik teras dan pada saya itu antara sebab kenapa Tun M memberi cadangan supaya parti-parti politik Melayu bergabung,” ujarnya.

Tag: