• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tiada Keperluan Bubar DUN Terengganu

KUALA TERENGGANU, 21 Mac- PAS menegaskan tiada keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam tempoh terdekat.

Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar senada dengan pendirian  Presiden parti, Tan Sri Dato' Seri Abdul Hadi Awang untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri dikuasainya itu sehingga habis penggal tahun depan.

"Kita telah buat keputusan hari itu, sebagaimana kenyataan media yang dikeluarkan oleh Presiden PAS.

“Terengganu, Kelantan dan Kedah tidak ada keperluan untuk bubar DUN.

"Saya juga ada terbaca kenyataan daripada Pakatan Harapan (PH) untuk negeri-negeri di bawah PH juga tidak akan membubarkan (DUN) atas sebab-sebab mereka," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membacakan titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Laporan media sebelum ini memaklumkan, pendirian yang dimuktamadkan Abdul Hadi itu adalah bagi menumpukan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat.

“Pas mengikuti perkembangan semasa politik tanah air, di samping fokus yang perlu diberikan terhadap usaha pemulihan kesihatan dan ekonomi negara yang bakal memasuki fasa endemik.

“Justeru, Pas berpendirian DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan dibubarkan sehingga tamat tempohnya,” katanya.