• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Tiada Perancangan Wajibkan Vaksin COVID-19

KUALA TERENGGANU, 23 Februari – Kerajaan Malaysia tidak merancang untuk mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 pada fasa kedua dan ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kerana berpegang kepada prinsip suntikan secara sukarela.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim menegaskan prinsip program pemvaksinan pertamanya adalah percuma (ditaja kerajaan) dan kedua berhubung dengan persoalan kewajibannya.

“Kita mahu rakyat menerimanya dalam keadaan rela dan yakin atas keperluan vaksin tersebut.

“Oleh itu, kerajaan negeri akan menyampaikan penerangan tentang inisiatif ini secara konsisten sebelum dan sepanjang tiga fasa bermula dengan ketibaan vaksin suntikan Covid-19 Pfizer-BioNTech, baru-baru ini.

“Fasa pertama dijadualkan pada 24 Februari melibatkan petugas kesihatan seramai 300,000 dan ada baki lagi 200,000 itu berkait dengan mereka yang terlibat langsung dengan anggota keselamatan seperti polis, askar dan imegresen,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI.

Tambahnya yang juga ahli parlimen Kuala Terengganu, fasa kedua dijadualkan bermula April melibatkan kira-kira 9 juta orang yang dikenalpasti terdiri daripada warga emas, golongan berisiko tinggi serta Orang Kurang Upaya (OKU).

“Fasa ketiga pula melibatkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas (kecuali umur 18 tahun kebawah), bermula pada bulan Mei,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan keperluan pemvaksinan wajib yang ditetapkan oleh negara asing bagi tujuan perjalanan ke luar negara.

“Contohnya seperti Amerika Syarikat dan Australia, mereka mewajibkan pembuktian kita divaksin, ini bukan perkara baharu kerana demi menjaga keselamatan negara masing-masing.

“Situasi sama turut wujud di Arab Saudi, seperti urusan umrah ke tanah suci, mereka yang tidak dicucuk tidak boleh masuk,” tambahnya.