• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Tidak Tunai Manifesto, PH Bakal Dihukum!

Ustaz Ahmad Shah Muhamed (tengah) sedang berkempen untuk calon PAS, Dr Halimah Ali .
Oleh: Syed Abdul Rahman

PETALING JAYA - Kerajaan Pakatan Harapan yang tidak melaksanakan manifestonya wajar dihukum oleh rakyat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia kali ini dengan mengundi dan memberi peluang kepada calon yang ditampilkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Dr Halimah Ali.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ustaz Ahmad Shah Muhamed berkata, beliau melihat sambutan yang baik daripada penduduk tempatan terhadap Dr Halimah Ali.

"Saya yakin bahawa dalam tempoh berkempen ini, timbul kesedaran dalam diri pengundi bahawa Kerajaan Pakatan Harapan di peringkat negeri mahupun pusat tidak dapat melaksanakan manifesto sepertimana yang dijanjikan.

"Lakukanlah perubahan sekarang dengan memberi sokongan kepada calon PAS untuk menjadi wakil yang mampu membawa suara rakyat.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu berkempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, semalam (4 September).

Menurut Ustaz Ahmad Shah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, rombongan PAS Kawasan Kuala Terengganu telah berkampung di DUN Seri Setia bermula 1 hingga 4 September.

"Saya berharap agar pengundi di DUN Seri Setia mengundi Dr Halimah Ali bagi merealisasikan hasrat menjadi pembangkang yang berkesan dalam sidang DUN yang akan datang," ujarnya.

PAS Kuala Terengganu telah menghantar wakil seramai 12 orang dari setiap DUN dan bermula hari ini, petugas dari DUN Ladang dan Wakaf Mempelam akan mengambil alih tugasan kempen sehingga hari mengundi.


Turut hadir dalam tempoh berkempen pada kali ini, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ketua Pemuda PAS Kuala Terengganu, Azrin Aris.

Tag: