• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Tiga Fokus Utama Cikgu Rosol Di Hulu Terengganu

HULU TERENGGANU, 8 November - Tiga fokus utama akan diberi tumpuan calon Parlimen Hulu Terengganu (P038), Datuk Rosol Wahid jika Perikatan Nasional (PN-PAS) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Katanya, beliau tekad mahu terus menambah baik segmen kebajikan, pendidikan dan pembangunan bagi meningkatkan kelestarian hidup rakyat.

"Saya berpendirian kebajikan rakyat adalah perkara penting yang perlu diberikan tumpuan ketika ini dengan utamakan anak orang susah, anak yatim dan orang miskin.

"Contohnya kita akan bina lebih banyak rumah untuk elak rakyat membayar sewa bagi yang tidak ada rumah lagi.

"Keduanya, agenda pendidikan yang memastikan setiap pelajar yang melanjutkan pelajaran ke universiti mempunyai laptop dan jika terdapat orang susah, anak yatim yang tidak mampu membiayai pelajaran kerana masalah kewangan, boleh maklum kepadanya," katanya ketika ditemui selepas program ziarah di Kampung Tajin, di sini hari ini.

Seterusnya beliau yang juga Timbalan Menteri  Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)  berkata, perkara ketiga ialah pembangunan setempat.

"Banyak aset yang perlu diketengahkan, kita ada Tasik Kenyir, Sekayu, Belukar Bukit, ada banyak bukit untuk program pendakian (hiking) yang perlu dijenamakan semula dan dibangunkan.

"Contohnya Sekayu yang menjadi tumpuan satu ketika dulu, sekarang hilang serinya, jadi kita akan kerjasama dengan kerajaan negeri untuk kembalikan kegemilangan kawasan tersebut," tambah beliau lagi.

Berdepan saingan empat penjuru, beliau menghadapi tentangan Datuk Rozi Mamat (Barisan Nasional), Alias Ismail mewakili Pakatan Harapan (PH) sementara Mohd Khadri Abdullah calon Pejuang.

Rosol yakin mampu memenuhi kemahuan rakyat andainya diberi mandat pada PRU15 ini.

"Banyak perkara yang terbantut dan ketinggalan sebelum ini dan semuanya perlu diperbetulkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) ini," ujarnya.