• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Tiga Maut Kemalangan Di LPT2

Mayat mangsa dibawa ke bahu jalan oleh pengguna lebuh raya.

KEMAMAN - Tiga termasuk bayi dan kanak-kanak perempuan maut dalam satu kemalangan yang melibatkan dua buah kereta di kilometer 304, Lebuh Raya Pantai Timur 2  (LPT2),  berhampiran susur keluar Plaza Tol Kijal, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pada ja. 11.15 pagi itu, Haznah Ali, 59, Weaam Lukman, 8 bulan dan kakaknya, Wedad Abdullah, 2 tahun 7 bulan maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan dalaman.

Ketua Polis Daerah, Superitenden Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian yang berlaku di laluan lurus di atas jambatan lebuh raya tersebut.

Haznah Ali
Mohd said berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Wira dipandu Lukman Waeni , 31, seorang warganegara Thailand yang datang dari arah Kuantan menuju ke Kuala Terengganu berhenti di bahu kiri jalan untuk berehat.

Menurutnya, sebuah lagi kereta jenis Perodua Axia yang dipandu seorang lagi mangsa bersama tiga penumpang datang dari arah yang sama, merempuh belakang kereta yang dinaiki oleh dua beradik tersebut.

"Akibat dari perlanggaran tersebut, kedu-dua beradik yang duduk di bahagian belakang bersama ibunya tercampak keluar dan mengalami kecederaan dalaman.

"Manakala seorang lagi mangsa wanita yang duduk di bahagian belakang penumpang kereta yang berlainan turut mengalami kecederaan parah dalaman badan dan telah dikeluarkan oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian,"katanya.

Keadaan kereta Proton Wira yang remuk teruk selepas dilanggar dari bahagian belakang.

Menurut Mohd Said, sepasukan anggota perubatan dari Klinik Kesihatan Bandar Seri Bandi yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan kesemua manga sudah meninggal dunia dan membawa yang cedera ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut.

Keadaan kereta Perodua Axia yang remuk selepas melanggar kereta terbabit.


Menurut saksi, Zamri Zaaba , 37 , ketika ditemui di lokasi kejadian berkata ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang dari Bandar Kuantan menuju ke Bandar  Paka dan setibanya dilokasi kejadian dia terus keluar untuk membantu mangsa lain yang berada di dalam kedua - dua kenderaan tersebut.

"Keadaan masa itu memang kelam kabut sedikit dengan orang keluar ramai berhenti untuk membantu dan pada masa itu mayat perempuan masih berada dalam kereta lagi dan orang ramai mengalihkan  mayat dua  beradik itu ke tepi jalan," katanya.

Menurut Mohd Said, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Kesemua mayat mangsa di bawa ke Unit Forensik Hospital yang sama untuk proses bedah siasat dan urusan pengebumian manakala kesemua mangsa yang cedera dilaporkan stabil.

Tag: