• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Tiga Mayat Mangsa Lemas Ditemui

Mayat mangsa ketiga dibawa oleh pasukan penyelamat untuk pengecaman keluarga.

KEMAMAN - Susulan tiga remaja pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) lemas ketika berkelah di Pantai Peranginan Teluk Kalong di Kemaman Khamis lalu, mangsa ketiga Khairil Ikmal Danial Zamzuradi ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 9.45 pagi tadi.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Terengganu, Penguasa Bomba Saiful Anuar Ali ketika ditemui berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 2.1 kilometer daripada pos kawalan bomba berhampiran pantai berkenaan.


“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke khemah operasi untuk proses pengecaman oleh ahli keluarga mangsa sebelum diserahkan kepada polis.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tujuan bedah siasat serta tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan kira-kira jam 7.00 pagi tadi membabitkan kekuatan seramai enam puluh tiga anggota dari pelbagai agensi.

Operasi berkenaan turut melibatkan selaman oleh unit skuba dan pencarian di permukaan air dan di sepanjang persisir pantai berkenaan ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.30 pagi.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang khamis lalu tiga sahabat  itu lemas  dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama tujuh rakan lain.

Mangsa pertama, Shahir Aqil Shahrun ditemui terdampar kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian pada jam 4.30 pagi semalam (Jumaat).

Manakala mangsa kedua, Ahmad Daniel Firdaus Zubir ditemukan kira-kira jam 5:20 pagi tadi oleh pasukan SAR.

Mayat mangsa ditemui terdampar di pesisir pantai berkenaan pada jarak kira kira 100 meter dari lokasi mangsa pertama ditemukan.






Tag: