• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Tinggalkan Politik Kotor, Fokus Khidmat Pada Rakyat - Khalil Abdul Hadi


Muhammad Khalil Abdul Hadi.
KUALA TERENGGANU, 13 Jun - Ahli politik di seluruh Malaysia digesa supaya menjauhi pendekatan politik fitnah dan kotor agar rakyat tidak terus dihimpit pelbagai masalah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, gaya dan cara berpolitik sedemikian tidak membawa sebarang keuntungan kepada masyarakat ataupun negara.

Jelasnya, sebaliknya suasana tersebut akan merugikan rakyat Malaysia yang mahukan perubahan selepas tampuk kepimpinan negara bertukar kepada Pakatan Harapan (PH).

“Kita agak sedih dan dukacita dengan suasana politik dalam negara kita, sepatutnya kita sudah lupa (tinggalkan) politik-politik seperti ini (video seks), politik kotor dan lucah.

“Selepas PH menang, mendapat mandat daripada rakyat, sepatutnya fokus terarah kepada kebajikan rakyat, memberikan khidmat pada masyarakat, tetapi malangnya kita tidak lihat itu berlaku,” ujar beliau ketika menjawab pertanyaan media berhubung kes penyebaran klip video yang dikatakan mirip seorang seorang Menteri.

Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia menegaskan supaya dakwaan tersebut dihakimi dengan adil tanpa mengira latar belakang politik pihak tertentu.

Katanya, tuduhan tersebut harus diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan.

“Ini prinsip PAS sejak dahulu. Kita tak mengira siapa misalnya dalam kes bekas Timbalan Perdana Menteri dulu (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kita mengambil prinsip yang sama termasuklah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Prinsip kami jelas, seseorang itu tidak boleh dihukum bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah. Kita tak boleh 'hukum' mengikut media sosial hari ini yang rangkaiannya tiada sempadan,” tambah beliau.

Awal pagi semalam, Setiausaha Sulit kepada seorang Timbalan Menteri membuat pengakuan mengejutkan apabila bersumpah dia merupakan individu dalam sebuah klip video seks bersama seorang lelaki mirip pemimpin PH.

Tiga video panas tersebut masing-masing berdurasi satu minit 35 saat dan sebuah rakaman audio berdurasi lima minit 24 saat tersebar sejak semalam.





Tag: