• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Tingkatkan Langkah Keselamatan Di Musim Banjir - Ghazali

Ghazali dengan ditemani isterinya,  Bibi Nazima Mohamed Akbal meninjau beberapa kawasan yang terjejas akibat banjir di Kampung Bukit Kolam, Ajil, petang ini. Foto oleh Mastura Jamaldin
Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah berwaspada bagi mencegah dan menghindarkan sebarang kemalangan yang boleh membahayakan kesihatan serta nyawa ketika musim banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Teknologi, komunikasi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib, berkata peringatan dan kesedaran yang tinggi amat penting bagi mengelak risiko bahaya kepada diri sendiri mahupun keluarga terutama kanak-kanak supaya tidak terdedah kepada air pada musim-musim bah yang sedang melanda Terengganu kini.
"Saya sebagai wakil rakyat akan berusaha untuk memastikan skuad sukarelawan ini menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat yang terlibat banjir khususnya di DUN (Dewan Undangan Negeri) Ajil kerana apa yang penting adalah tanda keprihatinan Kerajaan atas kesusahan yang menimpa rakyat dan memerlukan pembelaan.
"Apa paling penting kita sudah pun menghantar bekalan ke pengkalan hadapan untuk semua kawasan yang terlibat dengan banjir dan setakat ini tiada masalah dengan bekalan. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung juga bertindak mengikut arahan sekiranya berlaku masalah dengan bekalan,"katanya ketika dihubungi Teganukita.
Beliau turut berkata, orang ramai juga perlu menitikberatkan kebersihan persekitaran tempat tinggal dan kawasan yang berdekatan serta mengutamakan keselamatan supaya tiada insiden lemas, kecederaan serta jangkitan penyakit.
Katanya lagi, perkara terpenting adalah lakukan persediaan awal termasuk menyelamatkan dokumen penting dan terus mengikut arahan pihak berkuasa untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara bagi mengelakkan perkara buruk berlaku.
Dalam pada itu, banjir yang melanda beberapa daerah di Hulu Terengganu semakin buruk berikutan hujan lebat yang masih berterusan sejak semalam.

Tag: