• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446
Pemain T-Team meraikan kemenangan dalam perlawanan menentang ATM selepas menundukkan pasukan tersebut dalam kelayakan penalti di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi. 


Titans mara ke pusingan ketiga dalam saingan Piala FA selepas berjaya menundukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 4-2 menerusi penentuan penalti di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Ternyata tuah lebih memihak kepada pasukan tuan rumah apabila penjaga gol, Muhammad Izzuddin Muhamat Hussin muncul wira selepas berjaya menepis rembatan oleh Sirojiddn Rakhmatlaev sebelum Mohd Nor Hakim Hassan menyempurnakan sepakan penalti kelima.

Penentuan penalti tersebut dilakukan apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 sebaik wisel penamat dibunyikan.

Ketua jurulatih T-Team, Rachmat Dermawan berkata, T-Team bejaya mencari rentak untuk menyamai kedudukan selepas melakukan perubahan pada separuh masa kedua.

“Untuk separuh masa pertama, mutu permainan yang ditunjukkan oleh pasukan kurang baik tetapi pada separuh masa kedua kita melakukan pertukaran pemain serta mengubah sedikit corak permainan agar menjadi lebih baik.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan permainan, selain motivasi yang ditunjukkan oleh para pemain sebab sepertimana yang kita tahu, pasukan kita hanya sempat berehat selama dua hari sahaja sebelum perlawanan ini, berbanding pihak lawan pula mempunyai masa selama tiga hari untuk berehat,” katanya.


Dalam perlawanan itu, pelawat terlebih dahulu membuka jaringan apabila pengadil perlawanan, P Jeevanathan menghadiahkan sepakan penalti akibat Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris mengasari Zainal Jakaria pada minit keenam dan gol berjaya disempurnakan oleh Pavel Smolyachenko.

Pada minit ke-29, peluang untuk memecah benteng pertahanan pihak lawan hadir namun Dilshod Sharofetdinov gagal menyempurnakan hantaran daripada Mahamadou Samassa apabila rembatannya melepasi palang.

Lima minit selepas babak kedua bermula, Farhod Tadjiev menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti apabila Mohamad Noraiman Talib menjatuhkan Mohd Nor Hakim Hassan dalam kotak penalti.

Sepakan penalti yang diambil oleh Samassa pada minit ke-112 gagal disudahkan apabila tendangannya dapat dibaca oleh penjaga gawang pihak lawan, Mohamad Hafizuddin Azuhar.

Kemenangan dalam penentuan penalti tersebut melayakkan T-Team mara ke pusingan seterusnya mengikuti jejak Terengganu yang turut layak apabila menang dalam perlawanan menentang Felcra FC 1-0.

Undian bagi 16 pasukan yang layak mara ke pusingan ketiga Piala FA dijangka pada 19 Februari nanti.


Tag: