KUALA TERENGGANU, 7 Januari - Pasukan Titian Baru dinobat juara Piala Parlimen Marang selepas menewaskan pasukan Padang Terik 4-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Kejayaan tersebut sekali gus mengubat kekecewaan lalu serta mengembalikan kegemilangan pasukan itu di pentas parlimen.
Jurulatih pasukan Titian Baru, Mohd Yazid bin Mat Rasid menzahirkan rasa syukur dan merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh pemain serta pihak pengurusan atas komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang kejohanan berlangsung.
Mengulas mengenai perlawanan akhir, Mohd Yazid mengakui ia bukan perlawanan yang mudah apabila berdepan tentangan sengit daripada pasukan Padang Terik.
Menurutnya, kedua-dua pasukan mempamerkan permainan berkualiti tinggi dan penuh disiplin sehingga ke minit-minit terakhir perlawanan.
“Kemenangan ini adalah hasil kesabaran dan semangat juang pemain. Pasukan Padang Terik memberi tentangan hebat, namun pemain Titian Baru kekal fokus dan berjuang sehingga wisel penamat,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan, malam semalam.
Beliau turut memuji peranan barisan pengurusan pasukan yang bertungkus-lumus sejak pusingan awal kejohanan dengan perancangan rapi dan strategi tersusun, sekali gus membantu pasukan mara sehingga ke perlawanan akhir.
Untuk rekod, pasukan Titian Baru pernah menjuarai Piala Parlimen Marang pada tahun 2006 dan kejayaan kali ini mengulangi sejarah gemilang tersebut selepas hampir dua dekad. Ia juga menjadi bukti keupayaan pasukan bangkit dengan lebih matang dan berdaya saing.
Kemenangan ini turut dianggap sebagai penebusan selepas kekalahan di peringkat DUN sebelum ini, apabila Titian Baru berjaya membawa pulang Piala Tok Guru ke DUN Bukit Payong. Kejayaan ini disifatkan sebagai kejayaan bersama seluruh warga pasukan dan para penyokong setia.