• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Tourism Malaysia Seru Pengusaha Pelancongan Zahirkan Semangat Kebangsaan

KUALA NERUS, 18 Ogos - Tourism Malaysia Wilayah Timur menyeru semua pengusaha pelancongan terdiri daripada hotel dan resort di pantai timur mempamerkan semangat patriotisme di premis masing-masing sempena bulan kebangsaan ini.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin mengajak pengusaha pelancongan untuk menyemarakkan lagi kempen bulan kebangsaan dengan memasang lagu-lagu patriotik dan mengibarkan bendera Malaysia.

Hafiz Hazin.

"Memang kita mengalu-alukan sikap patriotisme dari kalangan pengusaha pelancongan untuk sama-sama menghayati bulan kebangsaan ini.

"Tambahan pula sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, kita hanya fokus kepada pelancongan domestik berikutan pengunjung luar tidak dapat masuk ke negara ini. Jadi, ini adalah peluang kita melahirkan rasa bangga dan syukur kita sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sesi pemantauan pihak Tourism Malaysia Wilayah Timur, Pusat Informasi Pelancongan (TIC) Kuala Terengganu dengan kerjasama Pejabat Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia Kuala Terengganu di pusat peranginan Pulau Redang, semalam.

Tambah beliau, pihaknya turut berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi di kalangan pengusaha pelancongan terdiri daripada hotel dan resort.

Kakitangan salah Redang Pelangi Resort memasang Jalur Gemilang di bangunan utamanya.

"Sekarang ini kita sedia maklum rakyat Malaysia mula keluar bercuti dan alhamdulillah kita telah menerima ramai pengunjung terutama di pulau-pulau di Terengganu ini. Setakat ini, masih belum dapat apa-apa rungutan daripada pengunjung dan kita harap mereka berpuas hati dengan pelaksanaan SOP oleh pengusaha hotel dan resort sebagaimana yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Cumanya, kekangan yang kita hadapi di sini adalah saiz jeti yang menyukarkan pengunjung mempraktikkan penjarakan fizikal seperti ditetapkan. Itu antara penekanan yang perlu dilihat untuk kita ambil berat dan saya mohon sekiranya suasana sekitar jeti dipertingkatkan,' katanya.

Jelasnya lagi, Tourism Malaysia sering mengutamakan respon balas dari pengunjung untuk beri penarafan kepada resort dan hotel dalam mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengalu-alukan sebarang pandangan pihak luar bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan dan SOP.

Sejak pelaksanaan PKPP bermula 10 Jun hingga 31 Ogos depan, sebanyak 60 hingga 90 peratus kadar purata penginapan di resort-resort di pulau peranginan di pantai timur ditempah pelancong, antaranya di Pulau Redang, Setiu.

Kakitangan Redang Pelangi membentuk angka 63 simbolik sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-63.