KUALA TERENGGANU, 20 Oktober - Penggunaan pembayaran sewa premis secara digital oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) merekodkan peningkatan transaksi sebanyak 225 peratus, dengan jumlah kutipan mencecah RM377,000 dalam tempoh lima bulan pertama pelaksanaannya.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Lizan Che Mat berkata, sebanyak 987 transaksi pembayaran menggunakan kod ‘Quick Response (QR )dan Akaun Maya (Virtual Account, VA) direkodkan dari Mei hingga September 2026, sekali gus menunjukkan perkembangan positif terhadap penggunaan saluran pembayaran digital dalam kalangan penyewa.
Menurutnya, jumlah transaksi bulanan meningkat daripada 87 transaksi dengan kutipan RM44,000 pada Mei kepada 283 transaksi bernilai RM76,000 pada September lalu.
“Pelaksanaan pembayaran digital ini bukan sahaja bertujuan memudahkan urusan pembayaran, malah merupakan langkah strategik MBKT untuk meningkatkan kecekapan kutipan hasil dan mengurangkan tunggakan sewa,” jelasnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

“Sasaran utama MBKT memperkenalkan pembayaran sewa premis menggunakan VA dan QR ialah meningkatan kecekapan kutipan hasil dengan memudahkan proses pembayaran secara elektronik dan mempercepatkan penerimaan dan pengesahan bayaran.
“Meningkatkan ketelusan dan ketepatan rekod kewangan, kurang risiko kesilapan dan mempercepatkan transformasi digital dalam pengurusan sewa,” ujarnya.
Katanya, penggunaan VA dan QR turut membantu meningkatkan ketelusan serta ketepatan rekod kewangan melalui proses penerimaan dan pengesahan bayaran yang lebih sistematik.
Pelaksanaan sistem berkenaan dimulakan di Pasar Kedai Payang 1 pada Mei 2026, diikuti Pasar Kedai Payang 2 pada Julai dan Pasar Chabang Tiga pada September tahun sama.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pembayaran sewa premis melalui VA dan QR tidak mengenakan caj tambahan kepada penyewa kerana kos transaksi ditanggung pihak bank.
Selain kaedah berkenaan, penyewa turut mempunyai pilihan untuk membuat pembayaran melalui portal e-Bayaran MBKT dan saluran JomPAY.
“Penyewa mempunyai pelbagai pilihan cara bayaran selain dari bayaran secara FPX melalui portal http:/ ebayaran.mbkt.gov.my, saluran jompay, dan yang terkini melalui QR & Akaun Maya (Virtual Account),” katanya.
Justeru itu, katanya, usaha ini mencerminkan kesungguhan MBKT dalam memperluas penggunaan teknologi digital bagi memastikan urusan kutipan hasil dilaksanakan dengan lebih sistematik, praktikal dan mesra pengguna.
“MBKT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Affin Bank serta semua pihak yang terlibat atas kerjasama yang diberikan.
“Diharapkan kerjasama berterusan antara MBKT, komuniti peniaga dan masyarakat dapat mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif serta menjadikan Kuala Terengganu sebuah bandar raya yang maju, berdaya saing dan sejahtera,” tambah beliau.