• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

TUGAS Tingkat Prestasi Usahawan

KUALA TERENGGANU, 16 Mei - Skim di bawah Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) telah ditambah baik sejak ia diperkenalkan 2019 bagi meningkatkan prestasi perniagaan usahawan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, berdasarkan rekod sebanyak RM21.258 juta telah diberikan kepada 3,317 usahawan melalui skim-skim geran dan pembiayaan.

"Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu juga mempunyai program khas untuk golongan muda untuk turut mencipta kerjaya melalui keusahawanan melalui Program Usahawan Belia Sejahtera (U-BES).

"Bagi tahun 2022, seramai 40 orang belia telah dipilih untuk menyertai program U-BES 3.0 dimana para peserta telah meningkatkan jualan mereka kepada jumlah keseluruhan RM3,928,918.70 dan pada masa yang sama telah memberikan peluang pekerjaan kepada 83 orang.

"YPU juga sering mengadakan program kursus secara berkala bai usahawan 'Start-Up', 'Scale-Up' dan 'High Performing' dengan sejumlah 44 kursus telah diadakan pada tahun 2022 yang disertai 2,290 orang peserta," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Usahawan Terengganu 2022 (AUT2022) yang disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, semalam.

Dalam pada itu, Nurkhuzaini berkata tidak dinafikan produk-produk yang dihasilkan dihasilkan oleh usahawan Terengganu selama ini sangat berpotensi untuk diketengahkan dalam dan luar negera.

"Walau bagaimanapun, masih ramai usahawan yang tidak berjaya dalam mempromosikan produk mereka ini, Justeru itu, YPU juga turut membantu mempromosikan produk-produk ini melalui penganjuran dan penyertaan pelbagai 'event' (acara).

"Bagi tahun 2022, YPU telah membantu usahawan Terengganu menyertai 22 'event' di dalam dan luar negara dan telah berjaya mendapatkan jumlah jualan sebanyak RM1.301,674,55," katanya.

Sementara itu beliau menyatakan kejayaan mengadakan acara berprestij AUT2022 adalah hasil kerjasama seluruh agensi keusahawanan di bawah Sekretariat Pembangunan Ushawan Terengganu (PUETER).

"Di mana matlamat penubuhan urusetia ini ialah bagi mengoptimakan penggunaan sumber dan tenaga antara agensi-agensi untuk memaksimakan pelaksanaan program dan aktiviti pembangunan keushawanan negeri Terengganu," ujarnya.